Mungkin semua sedia maklum akan aplikasi Astro untuk Android dan iOS yang membolehkan anda melihat intisari rancangan dan sebagainya terus melalui telefon pintar anda. Namun, salah satu perkara yang tidak terdapat padanya adalah sokongan peringatan yang interaktif, dan perkara ini cuba diatasi oleh salah seorang pembangun melalui aplikasi yang dinamakan sebagai Movie Reminder.
Aplikasi ini masih lagi pada peringkat pembangunan, dan sedang dibangunkan untuk platform Android. Melaluinya, ia bukan sekadar menyokong Astro sahaja, tetapi turut sama akan memperlihatkan filem yang ditayangkan di pawagam. Menariknya lagi adalah kelak ia juga diperkatakan akan diintegrasikan bersama kedalam Google Calendar untuk memudahkan anda menguruskan temujanji anda, supaya tidak terlepas rancangan kegemaran.
Pada masa yang sama, salah satu fungsi yang menarik didatangkan bersama adalah para pengguna boleh menetapkan pelakon yang diminati anda, dan setiap kali filem atau rancangan yang dilakonkan oleh pelakon kegemaran anda ditayangkan, ianya akan menyertakan notifikasi, sekaligus mengelakkan anda daripada terlepas daripada menonton pelakon kegemaran anda berlakon.
Walaubagaimanapun, aplikasi ini masih lagi pada peringkat awal pembangunan, dan pembangunnya diperkatakan dalam proses mendapatkan kelulusan daripada pihak Astro untuk menggunakan serba sebanyak data mereka.
Jadi, sekiranya para pembaca Amanz mempunyai sebarang idea tambahan, mungkin anda boleh utarakannya, dan mungkin juga pembangun tersebut akan merealisasikannya. Jadi, apa kata anda?