Carian
HTC Sensation XL Dan HTC Explorer Bakal Tiba Di Malaysia Tidak Lama Lagi
November 14, 2011 Aman

Ia kini boleh diperkatakan hampir setiap minggu, terdapat peranti baru memasuki pasaran Malaysia, dan kini Cubic Platforms, iaitu pengedar rasmi serta juga kedai konsep untuk HTC dan juga DiGi telah pun mengumumkan yang mana dua peranti ini bakal ditawarkan tidak lama lagi di pasaran Malaysia. Berkemungkinan besar, kedua-dua peranti ini juga mungkin ditawarkan bersama oleh pihak DiGi.

Untuk makluman semua, HTC Explorer telah diumumkan pada bulan September yang lepas, dimana ia membawakan skrin seluas 3.2-inci, cip pemprosesan 600MHz, kamera 3.15-megapixel, serta menggunakan Android 2.3 bersama-sama antaramuka HTC Sense 3.5. Memandangkan ianya membawakan spesifikasi yang rendah, mungkin harga jualannya yang ditawarkan juga mungkin berpatutan, dan menjadi peranti mampu milik semua, dan bagi sesiapa yang ingin berjinak-jinak di dunia Android.

Berbeza dengan HTC Explorer, HTC Sensation XL membawakan spesifikasi yang tinggi, dimana membawakan skrin seluas 4.7-inci, cip pemprosesan 1.5GHz, kamera belakang 8-megapixel, kamera hadapan 1.3-megapixel, menggunakan Android 2.3 Gingerbread dan juga antaramuka HTC Sense 3.5. Pada masa yang sama, ia juga ditambah dengan teknologi audio daripada Beats, dan didatangkan bersama-sama dengan headset tersendiri.

Buat masa ini, harga jualan kedua-dua peranti ini masih tidak diketahui, dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Komen