Carian
Adobe Melancarkan Kedai Atas-Talian Rasmi Untuk Malaysia
November 14, 2011 Aman

Hari ini, Adobe Systems, pengeluar pelbagai aplikasi popular seperti Adobe Photoshop, Adobe After Effects, Adobe Flash dan pelbagai aplikasi lain lagi secara rasminya telah mengumumkan pelancaran kedai atas talian mereka untuk rantau Asia Tenggara termasuk di Malaysia. Dengan pelancaran ini, ia sekaligus membolehkan pengguna tempatan turut sama menikmati kemaskini semasa aplikasi Adobe dan membelinya bersama-sama pelancaran globalnya.

Melalui kedai atas-talian Adobe khas untuk Malaysia itu, para pengguna boleh melakukan pembelian tanpa was-was, dan memastikan mereka mendapat hak milik asli, dan bukannya palsu atau tiruan. Selain itu, melalui kedai atas-talian yang diperkenalkan, Adobe menawarkan muat-turun digital dan juga penghantaran dalam bentuk fizikal.

Mungkin dengan adanya kedai atas-talian daripada Adobe, Apple dan yang lain, mungkin kita akan dapat melihat lebih banyak jenama turut sama memberikan perhatian kepada rantau Asia Tenggara ini, terutamanya Malaysia.

Bagi mereka yang berminat untuk melihat produk Adobe yang ditawarkan, anda boleh melihatnya terus melalui halaman rasmi Adobe Store Malaysia.

Komen