Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Note ialah sebuah peranti yang jatuh didalam klasifikasi baru yang diberikan nama sebagai note. Peranti didalam pengelasan ini mempunyai paparan skrin sebesar 5.3-inci dan menggunakan stylus yang mampu digunakan bagi menulis atau melukis secara terus diatas skrin. Galaxy Note boleh dikatakan peranti untuk mereka yang merasakan Samsung Galaxy S2 terlalu kecil manakala Samsung Galaxy Tab pula terlalu besar untuk digunakan. Pada pendapat saya Note ialah gabungan sebuah telefon pintar dan PDA seperti Palm Pilot yang pernah popular suatu ketika dulu.

SPESIFIKASI : Beza Note dan SGS2

Spesifikasi Galaxy Note ialah penaik-tarafan daripada SGS2 yang saya pasti ramai setuju yang mana ia merupakan antara telefon pintar terbaik di pasaran. Yang berubah pada note ialah cip pemprosesan 1.4 Ghz dua teras, skrin Super Amoled HD dengan resolusi WXGA 1200×800, skrin bersaiz lebih besar, bateri 2500 mAh dan ketiadaan sokongan NFC. Lain daripada itu Note mempunyai spesifikasi yang sama dengan SGS2. Dari segi kemasan Note mempunyai kemasan yang lebih cantik dari SGS2 yang terlalu plastik.

Badan Note dikelilingi besi sama seperti yang ada pada Galaxy Tab 10.1. Ini membuatkan Note kelihatan lebih seksi dari SGS2. Dari segi keselesaan memegang juga sekali lagi Note lebih sedap dipegang walaupun pada awalnya saya merasa agak canggung memegang peranti sebesar ini. Disinilah terletaknya dilema Note. Orang ramai sudah biasa dengan peranti sebesar 4.3″ ,7″ dan 10″ tetapi tidak 5.3″. Pengenalan peranti 5.3″ sebelum ini gagal menarik minat pengguna. Peranti pertama mempunyai saiz sebegini ialah Dell Streak yang sudah dihentikan pembuatannya. Sebagai seorang pengguna tablet 7-inci, Note ialah peranti yang mengabungkan yang terbaik antara dua dunia

Kebolehan menjawab panggilan telefon tanpa kelihatan seperti berbual dengan sebuah talam (semua pengguna Galaxy Tab akan akui ini adalah sangat jengkel) dan pada waktu yang sama skrin yang cukup besar untuk melayari web tanpa perlu dizoom sebelum boleh dibaca dengan selesa.

STYLUS : Apa Ada Dengan Stylus?

Stylus ialah perkataan jijik dalam kosakata mendiang Steve Jobs. Antara sebab mengapa beliau mencipta iPhone ialah kebencian beliau menggunakan stylus untuk berinteraksi dengan antara muka dan aplikasi. Stylus juga mudah hilang. Jadi mengapakah ianya dihidupkan kembali oleh Samsung? Samsung merasakan masih ada orang diluar sana yang mahukan stylus kembali digunakan pada peranti generasi ini. Stylus inilah dijadikan salah satu titik jualan untuk Note.

STYLUS : Gimik atau Keperluan?

Antara persoalan yang saya terima dari pembaca Amanz ialah “bergunakah stylus ini dalam kegunaan harian?“. Jawapan ikhlasnya tidak. Seperti kemampuan mengambil gambar 3D pada HTC EVO3D dan LG Optimus 3D, saya hanya menggunakn stylus untuk beberapa hari sebelum langsung berhenti menggunakannya. Sebab utamanya ialah stylus yang disertakan terlalu pendek dan tidak selesa bila digunakan untuk melakar. Tambahan lagi lebih mudah menaip nota penting ketika bertugas dari menulis dengan tulisan cakar ayam! Secara teorinya perisian S-Note boleh mengubah nota yang ditulis dengan stylus kepada teks tetapi dalam 7/10 percubaan teks yang terhasil langsung tidak sama dengan apa yang ditulis.

Adakan ini masalah tulisan saya yang hodoh atau perisian yang masih belum matang? Sebagai penulis yang ego saya menyalahkan perisian yang tidak cukup hebat untuk membaca tulisan saya yang terlalu hebat.

Sungguhpun begitu melukis menggunakan stylus adakah sangat menyeronokkan dan lebih natural dari menggunakan hujung jari. Tatkala bosan saya menggunakan aplikasi S-Note untuk menghabiskan masa terluang. Aplikasi seperti Zen Brush dan Autodesk Sketchbook lebih senang digunakan dengan stylus Note. Apa yang menarik ialah kedua-dua aplikasi ini tidak direka untuk digunakan bersama stylus tetapi masih dapat berfungsi dengan baik. Pihak Samsung hanya akan mengeluarkan SDK S-Pen kepada pembangun aplikasi pada bulan Disember ini. Kapabiliti dan kepergunaan stylus hanya akan benar-benar diketahui selepas ini. Buat masa sekarang stylus yang digunakan masih pada pendapat saya sebuah gimik yang akan jarang digunakan oleh 90% pengguna.

Jika ada yang tertanya-tanya, stylus hanya boleh digunakan dengan Galaxy Note dan tidak boleh digunakan dengan SGS2 ataupun Galaxy Tab.

BATERI

Bateri 2600 mAh digunakan bagi mengusai Note. Dari segi saiz ianya lebih besar daripada SGS2 (1680 mAh) tetapi jauh lebih kecil dari yang digunakan Galaxy Tab (4000 mAh). Pada penggunaan sederhana bateri Note mampu bertahan sehingga 17 jam. Pada penggunaan berat yakni dengan menjalankan aplikasi Twitter, Emel, Facebook dan Whatsapp sepanjang masa Note hanya mampu bertahan sekitar 12 jam.

Sekiranya perhidmatan data dimatikan terus padanya, Note mampu bertahan sehingga 25 jam (lihat gambar dibawah). Bolehlah disimpulkan Galaxy Note mempunyai jangka hayat bateri yang biasa bagi sebuah peranti dua teras. Jika anda mahukan lebih kuasa Samsung ada menyertakan aplikasi pengurusan bateri. Sebagai contoh jika anda mahu menghentikan penyelarasan (syncing) apabila bateri mencecah 40%, anda boleh melakukannya. Perlu juga  dinyatakan Note menggunakan port USB Mikro untuk mengecas dan ianya boleh dicas jika disambungkan kepada port USB pada komputer. Ini tidak seperti yang Galaxy Tab yang menggunakan pengecas berkepala 30 pin yang hanya boleh dicaj jika disambung kepada palam elektrik.

PENANDA ARAS : Quadrant dan Antutu Benchmark

Apabila aplikasi penanda aras (benchmark) Quadrant dan Antutu digunakan berlaku sesuatu yang aneh. Sungguhpun mempunyai pemproses lebih tinggi, markah yang diperolehi oleh Note jauh ketinggalan dari SGS2 apabila Antutu digunakan. Tetapi apabila quadrant digunakan markah Note lebih tinggi dari SGS2. Mengapakah ini berlaku saya sendiri tak pasti.

PRO dan Kelebihan

  • Skrin Super Amoled HD berkepadatan pixel 285 PPI sangat cantik. Paparan gambar dan warna yang tercantik dalam keluarga Samsung Galaxy.
  • Stylus memberikan anda kemampuan melakar terus keatas skrin.
  • Cip pemprosesan dwi-teras 1.4 Ghz dan RAM 1Gb memastikan semua aplikasi dapat digunakan tanpa sebarang masalah.
  • Bateri boleh dibuka dan ini memudahkan penggantian bateri pada masa hadapan atau penggunaan bateri berkapasiti lebih tinggi jika perlu.
  • Kemasan dan buatan yang sangat cantik. Ia membuatkan SGS2 kelihatan seperti telefon mainan.
  • Kamera 8 MP yang pantas serta mampu mengambil gambar berkualiti. Ia menggunakan kamera yang sama seperti yang terdapat pada SGS2 dan kualiti gambar SGS2 memang cukup bagus untuk kegunaan harian.

KONTRA dan Kekurangan

  • Saiz 5.3″ tidak untuk semua orang terutamanya pengguna wanita.
  • Walaupun seronok digunakan didalam aplikasi nota dan melukis, penggunaan stylus untuk penggunaan lain amat terhad dan terasa seakan gimik. Sama seperti gimik kamera 3D.
  • Tiada berita sokongan penaik tarafan kepada Ice Cream Sandwich untuk masa terdekat. Namun ada ura-ura  Note bakal menerima ICS April tahun hadapan.
  • Kerana resolusi WXGA, ada aplikasi yang tidak dipaparkan dengan betul. Sebagi contoh aplikasi MOLOME hanya menggunakan 1/3 paparan skrin. Namun ini hanya dalam peratusan yang kecil. Aplikasi lain tiada masalah melakukan scale up kepada resolusi WXGA.
  • Pada harga saranan sebanyak RM2299 ianya agak mahal kerana ada ura-ura Galaxy Tab 7.7″ akan dijual dalam lingkungan RM 1700.

KESIMPULAN

Galaxy Note ialah sebuah peranti yang mempunyai keunikan dari segi saiz dan penggunaan stylus. Sebagai seorang pengguna tablet saiz skrin 5.3″ Note bukanlah masalah besar dan secara ikhlas peranti ini sudah berjaya mencuri hati dan duit didalam dompet saya. Ianya peranti yang telah lama saya nantikan kerana ianya menggabungkan kemampuan telefon pintar dan tablet dengan form factor yang tidak membebankan poket.

Permasalahan utama Note ialah tidak ramai orang yang mahukan peranti pertengahan (intermediate) sepertinya. Ia bolehlah dikatakan sebuah peranti NICHE. Apa yang pasti ianya peranti yang mampu memenuhi semua keperluan harian anda. Sepanjang tempoh ulasan selama 2 minggu, Note berjaya menggantikan kamera 16 megapixel dan Galaxy Tab saya dalam kegunaan melakukan tugasan untuk Amanz.my.

Akhir kata Samsung Galaxy Note ialah peranti yang masih mencari-cari identiti dan ruang dihati pengguna diluar sana. Jika saya disoal “Engkau akan beli atau tidak Samsung Note?” jawapan yang akan saya berikan ialah “Mahu beli 2… satu untuk sendiri dan satu untuk bini“. Ya saya akui…… saya sudah jatuh cinta dengan Note. Ini peranti yang terbaik pernah saya ulas sejak mula menulis untuk Amanz.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd