Hari ini, Apple telah pun mengeluarkan kemaskini untuk perisian popular mereka, iaitu iTunes 10.5.1 yang mana menariknya bersama-sama dengan kemaskini tersebut, ia membawakan iTunes Match versi Beta kepada semua pengguna, membolehkan mereka menyimpan lagu-lagu kegemaran mereka di perkhidmatan-awan dari Apple, iaitu iCloud pada hanya $24.99 (~RM79) setahun.
Melalui iTunes Match, ia membolehkan para pengguna mengimport semua lagu mereka, termasuk daripada CD dan menyimpannya di iCloud. Kemudiannya, para pengguna boleh memainkan kembali lagu-lagu ini terus melalui peranti iPhone, iPad, iPod Touch, Mac atau PC dengan mudah, dimana sahaja anda berada.
Walaubagaimanapun, memandangkan ia mengambil data lagu, dan menyamakannya dengan yang terdapat pada koleksi lagu di iTunes, berkemungkinan beberapa lagu pada koleksi anda mungkin tidak terdapat pada iTunes, dan mungkin tidak disimpan padanya. Namun, dengan 20 juta lagu yang kini terdapat di iTunes, mungkin kebarangkaliannya adalah rendah.
iTunes Match juga tidak mengambil kira ruangan storan di iCloud anda, membolehkan anda menyimpan lagu tanpa had padanya. Jadi, adakah anda akan terus menyimpan lagu di cakera keras komputer, ataupun menggunakan perkhidmatan iCloud ini pada harga $24.99 (~RM79) setahun?