Setelah kes Digicert Malaysia tempoh hari, dunia sijil keselamatan di Malaysia sekali lagi mendapat perhatian umum hari ini, dimana F-Secure hari ini melaporkan penemuaan malware yang mana menggunakan nama sijil keselamatan daripada salah satu agensi kerajaan di Malaysia, iaitu Mardi.
Mungkin ramai tertanya apakah kesan perkara ini ke atas keselamatan sistem operasi dan sebagainya. Secara ringkasnya, sekiranya anda memuat-turun sesuatu aplikasi yang tidak mempunyai sijil keselamatan bersama dengannya, sebuah tetingkap akan diperlihatkan bersama-sama dengan amaran sebelum anda memuat-turunnya. Sebaliknya, bagi yang turut sama disertakan dengan sijil keselamatan, ia akan dimuat-turun terus, tanpa sebarang amaran. Dan disebabkan ia dilihat malware turut sama disertakan dengan penyalahgunaan sijil daripada Mardi ini, ia boleh tersebar dengan mudah pada komputer pengguna.
Menurut pihak berkuasa, sijil tersebut telah pun dicuri beberapa ketika yang lalu, selain mana ia turut sama telah tamat tempoh.
Perkara ini bukanlah sesuatu yang ganjil, dan mungkin terdapat beberapa kes seumpamanya sebelum ini. Namun ia mendapat perhatian ramai memandangkan ia menggunakan data milik agensi rasmi kerajaan, iaitu Mardi dalam kes ini.