Salah satu syarikat web tempatan yang berjaya adalah ShoutMix, dan kini, sudah hampir 10 hari syarikat tersebut memperkenalkan kemaskini ketiga terbesar pada platform mereka, membawakan rekabentuk dan antaramuka yang lebih kemas lagi, selain pelbagai sokongan bahasa tambahan bersama-sama dengannya. Pada masa yang sama, kaunter pengunjung juga telah dinaik-taraf berbanding sebelumnya.
Untuk makluman semua, ShoutMix merupakan salah satu perkhidmatan yang menyediakan perkhidmatan kotak permesejan untuk blog dan forum. Perkhidmatan ini telah dimulakan ketika kotak permesejan popular suatu ketika dahulu, iaitu sekitar 2004, dan masih kekal aktif dengan lebih 5 juta pengguna harian untuk perkhidmatan mereka.
Dan menariknya, dengan peredaran zaman, ShoutMix turut sama mengintegrasikan pelbagai fungsi menarik, termasuk kemaskini masa-nyata dan juga kaunter pengunjung yang dikemaskini mengikut masa-nyata. ShoutMix kini turut mengintegrasikan sokongan sosial, membolehkan para pengguna menghantar mesej mengikut akaun Facebook atau Twitter, dan mengurangkan spam pada sistem tersebut.
Selain daripada itu, ShoutMix versi 3 ini juga turut didatangkan dengan sokongan Bahasa Malaysia, Indonesia, Brazil, Portugis, Jerman, Itali, Turki dan beberapa bahasa yang lain lagi. Bagi yang berminat, anda boleh melayari laman ShoutMix untuk mendapat info lanjut, dan mendaftarkan akaun percuma untuk blog atau web anda.