Ingatkah lagi dengan ChopChop yang pernah kami tuliskan sebelum ini? Kini nampaknya aplikasi tersebut telah pun dilancarkan dan disediakan dalam bentuk aplikasi untuk para pengguna Android dan juga iPhone, membolehkan mereka menguruskan kad ganjaran mereka dengan mudah dalam bentuk digital dan membawanya bersama-sama ke mana sahaja kerana ianya tersimpan bersama-sama dengan telefon pintar masing-masing.
Buat masa ini, ChopChop masih lagi pada peringkat beta, dan melalui halaman rasmi mereka, ia memperlihatkan yang mana mereka akan mengumumkan beberapa rakan kerjasama tidak lama lagi. Melalui apa yang diperlihatkan, ia lebih tertumpu akan kawasan Lembah Klang, dan menariknya mereka turut mensasarkan pelajar daripada Taylor College dalam mempopularkan perkhidmatan tersebut.
Melalui halaman rasmi mereka juga, ia kelihatan ChopChop akan menggunakan sokongan kod QR secara menyeluruh dalam memberikan ganjaran, selain turut sama menggunakan kod QR dalam menebus ganjaran mereka.
Ia masih lagi tidak diketahui bilakah ChopChop akan mengumumkan perkhidmatan mereka secara rasminya, dan bermula bilakah rakan kerjasama mereka akan aktif menawarkan ganjaran padanya. Mungkin juga sekiranya mereka dapat memberikan ganjaran untuk rangkaian kedai makanan segera, seperti McDonalds, Burger King, Starbucks, San Francisco Coffee atau sebagainya, ia akan turut sama memberikan impak meluas kepada perkhidmatan tersebut.
Bagi mereka yang ingin menjadi terawal, mungkin boleh memuat-turun aplikasi ChopChop untuk iOS melalui AppStore atau Android melalui Android Market sementara menantikan pengumuman lanjut daripada pihak pembangun.