Dunia peranti mudah-alih negara kini sedang meningkat popular dengan pantas, dan begitu juga dengan perkembangan laman web jual-beli di Malaysia dengan kemunculan laman seperti Mudah.my, Beli.la, Mau.my dan beberapa yang lain lagi. Namun mungkin bagi peminat peranti mudah-alih, anda akan mendapat sebuah laman khas untuk dilawati setiap hari, apabila kini diketahui laman MudahAlih.my akan dilancarkan tidak lama lagi.
Konsep
Secara ringkasnya, kami merasakan konsep yang dibawakan oleh pihak pembangunnya amat menarik sekali, dimana ia membolehkan mereka yang mencari dan ingin menjual peranti mudah-alih seperti telefon bimbit, telefon pintar, tablet dan sebagainya hanya memfokuskan kepada suatu laman sahaja.
Selain daripada itu, kita juga dapat melihat pada laman-laman sedia ada seperti Lelong dan juga Mudah, jual-beli peranti mudah-alih merupakan salah satu aktiviti utama, dan sekiranya MudahAlih.my ini dipasarkan dengan betul, mungkin akan memberikan efek kepada laman-laman yang lain.
Kategori
MudahAlih.my juga memecahkan laman mereka kepada beberapa kategori, seperti aksesori, telefon mudah-alih, tablet, peranti mudah-alih lain, dan juga nombor telefon mudah-alih (berkaitan talian pascabayar dan juga prabayar). Buat masa ini laman tersebut masih di peringkat pembangunan, dan kami percaya, berdasarkan pada halaman utama yang diperlihatkan, kelak mereka akan membolehkan carian berdasarkan jenama peranti turut diperkenalkan.
Akaun Pengguna
Pada MudahAlih.my, ia memperkenalkan dua jenis akaun, iaitu akaun peribadi dan juga akaun peniaga, dinamakan sebagai Ewarung. Pendaftaran akaun peribadi adalah lebih mudah berbanding dengan akaun Ewarung, selain mana laman tersebut turut menyokong pendaftaran melalui Facebook.
Kesimpulan
Pada pendapat kami, sekiranya laman MudahAlih.my ini dapat dipasarkan dengan bagus, ia mungkin akan menjadi salah satu laman yang menjadi rujukan ramai pengguna padanya. Selain daripada itu, mungkin juga mereka boleh menambah suatu halaman khas memperlihatkan spesifikasi seperti laman GSMArena, sekaligus memudahkan penjual memasukkan data mengenai sesuatu peranti, selain menjadi tempat rujukan untuk para pembeli.
Walaubagaimanapun, versi akhir laman MudahAlih.my mungkin berbeza sedikit, memandangkan ia masih lagi pada peringkat pembangunan dan masih belum sedia untuk dilancarkan kepada umum. MudahAlih.my dijangka akan dilancarkan pada bulan Disember kelak. Sama-sama kita nantikan perkembangannya.