Microsoft Membawakan Pelbagai Kemaskini Baru Pada SkyDrive

Microsoft Membawakan Pelbagai Kemaskini Baru Pada SkyDrive

Diterbitkan pada November 30, 2011 oleh .

Dunia perkomputeran awan akhir-akhir ini semakin popular, dan Microsoft turut sama tidak ingin ketinggalan padanya. Selepas memperkenalkan kemaskini pada perkhidmatan emel mereka, Hotmail, kini Microsoft turut sama mengemaskini perkhidmatan storan maya mereka, iaitu SkyDrive dengan membawakan pelbagai sokongan baru, dan menjadikan perkhidmatan tersebut lebih baik daripada sebelum ini.

Melalui kemaskini yang diperkenalkan, SkyDrive kini membolehkan para pengguna berkongsi fail dengan mudah bersama-sama dengan yang lain, samada melalui emel atau rangkaian sosial, atau hanya menghasilkan pautan sahaja. Pada masa yang sama, pengguna juga boleh membina folder terus pada SkyDrive dengan mudah dan pantas, dan melakukan pelbagai perkara asas seperti menamakan semula, memuat-turun, mengubah folder, dan lain-lain. SkyDrive juga kini membawakan sokongan HTML5, membolehkan para pengguna memuat-naik dokumen dan fail dengan hanya tarik-dan-lepas dari folder di komputer ke SkyDrive.

Dengan Windows 8 kelak, Microsoft dijangka akan memperkenalkan integrasi SkyDrive secara lebih mendalam lagi pada sistem operasi mereka, dan perubahan ini mungkin salah satu langkah awal untuknya. Kemaskini SkyDrive ini boleh dinikmati oleh semua pengguna bermula daripada hari ini. Secara tidak langsung, pengguna MyEmail juga akan mendapat manfaat daripadanya memandangkan menggunakan perkhidmatan yang sama, iaitu daripada Microsoft.


TIPS & ULASAN