Permasalahan utama seorang pengguna Android ialah terlalu banyak pilihan yang ada diluar sana. Ianya seperti mencari seorang wakil isteri atau teman wanita. Kalau terlalu banyak pilihan kepala anda boleh menjadi serabut. LG Optimus plus mula dijual di Malaysia sejak beberapa bulan yang lalu dan tanpa perlu bermadah dan cakap berbelit seperti seorang politikus, saya tidak boleh sarankan telefon pintar ini kepada pembaca Amanz.my. Mengapa? Sila baca ulasan dibawah.
LG bukanlah nama yang asing dalam pembuatan telefon mudah alih. Pernah suatu ketika syarikat dari Korea Selatan ini pernah menjadi pengeluar telefon bimbit ketiga terbesar didunia. Tapi itu dulu. Sekarang lain pula ceritanya. Sebelum itu mari kita melihat spesifikasi LG Optimus 3D.
Mari mulakan ulasan dengan berita baik. Pertama sekali LG Optimus 3D didatangi dengan Android 2.3.5 dan LG baru sahaja mengeluarkan kenyataan ianya antara peranti yang akan menerima sokongan Ice Cream Sandwich dalam masa terdekat. Ini bermakna Optimus 3D adalah antara telefon Android paling awal menerima ICS. Optimus 3D juga mempunyai antaramuka yang berfungsi lebih pantas dari antaramuka Touchwiz Samsung. Tindak balas terhadap sentuhan dan tatalan juga amat laju. Disamping itu telefon ini juga didatangi dengan slot HDMI yang membolehkan anda menyambungkannya terus ke television berdefinisi tinggi.
Satu lagi perkara menarik pada antaramuka yang dilakukan oleh LG ialah cara aplikasi disusun didalam dulang aplikasi. Dengan melakukan cubitan ke dalam (pinch in), senarai aplikasi boleh dikecilkan dan hanya memaparkan kategori yang ditetapkan pengguna. Ini memudahkan proses pencarian aplikasi terutamanya jika anda mempunyai puluhan aplikasi didalam telefon Android anda.
Dari segi kemasan Optimus 3D menggunakan penutup belakang plastik yang mudah ditanggalkan bagi mengakses panel kad-SIM , bateri dan kad-SD. Telefon ini agak berat dan sedap dipegang. Secara keseluruhan ianya lebih selasa dan padu dipegang berbanding SGS2 yang terlalu ringan dan plastik. Pada bahagian kanan telefon terletak butang kawalan bunyi dan kamera. Bahagian kiri pula terletak slot untuk HDMI dan USB Mikro. Butang kuasa serta fon kepala terletak dibahagian atas. Butang kuasa agak terbenam dan sedikit sukar untuk diakses. Secara keseluruhan kualiti kemasan Optimus 3D adalah baik tetapi tidaklah mengujakan.
Berita buruknya pula ianya penggunaan skrin LCD biasa dengan lapisan Kaca Gorilla. Walaupun gambar yang dipaparkan kelihatan jelas dan terang kualiti paparan tidak sebaik Super Amoled Plus yang digunakan SGS2. Satu lagi permasalahan paparan LCD ialah ianya menggunakan lebih banyak kuasa bateri dari skrin AMOLED. Ini mungkin sebab utama mengapa hayat penggunaan Optimus 3D adalah amat teruk. Ini akan dibincangkan dengan lebih teliti di bahagian ulasan bateri kelak.
Tambah teruk lagi ialah masa yang diambil untuk peranti ini boot up. Jenaka kami di pejabat AMANZ.MY ialah “Kenapakah telefon LG mempunyai lambang LG dihadapannya? Kerana LAMBAT GILA nak boot up!” Ya ini memang jenaka lucu tapi apabila saya menggunakan peranti ini selama seminggu ada beberapa kali telefon ini hampir dicampak ke dalam parit kerana boot-up terlalu lama. Berapa lama? Hampir empat kali ganda lebih lama dari boot up Galaxy Tab generasi pertama. Jika LG Optimus ialah seekor POKEMON ianya layak dipanggil SLOWPOKE!
3D : Gimik atau Keperluan?
Peranti 3D tidak banyak berada dipasaran. Mereka yang mempunyai televisyen yang mampu memamaprkan 3D juag tidak banyak. Persoalannya sekarang berbaloikah membeli Optimus 3D dengan kemampuan 3D ini? Seperti EVO 3D keluaran HTC, Optimus 3D menggunakan teknologi 3D tanpa memerlukan kaca maca khas. Paparan 3D dapat ditonton secara terus sama seperti sebuah Nintendo 3DS . Aplikasi Hab 3D disertakan sekali bagi memudahkan pengguna mengakses fungsi 3D dengan mudah. Hab 3D ini juga dispersembahkan dalam format 3D . Ikon 3D didalam hab ini beranimasi dan dari sini anda boleh mengakses Youtube, permainan video, aplikasi, kamera serta panduan 3D.
Sepanjang penggunaan telefon ini saya sukar menyuesuaikan diri apabila menonton video serta gambar dalam 3 dimensi. Ianya memualkan dan memerlukan mata anda selari dengan skrin. Jika tidak kesan 3D yang dipaparkan tidak akan kelihatan seperti yang sepatutnya. Tahap “kedalaman” 3D boleh diubahsuai mengikut kehendak pengguna dan saya dapati pada tetapan paling rendah adalah yang paling selesa jika mahu menggunakannya untuk masa yang lama
Apabila bermain permainan video, lain pula keadaannya. Tiada perassan mual atau pening apabila bermain Asphalt 6 dan NOVA. Walaupun bermain pada jangka masa yang lama mata saya masih kekal selesa. Kenapa ini berlaku? Saya sendiri tak tahu tetapi Ikhwan (@tekong) ada berkata kemungkinan mata kita sudah biasa melihat permainan video dalam bentuk 3D dan cepat sesuai berbanding melihat gambar dan video 3D. Mungkin ada kebenaran disini dan harus dikatakan dalam mod 3D permainan diatas jauh lebih menarik. Walaupun dalam mod 3D permainan bergerak lancar dan tidak sekalipun crash sepanjang tempoh ulasan. Sungguhpun hanya diperkasakan pemproses 2 teras 1GHZ, Optimus 3D mampu menjalankan permainan 3D dengan baik sekali.
Jadi berbaloikah? Jika anda memang mahukan kemampuan mengambil gambar dan video secara 3D maka telefon ini memang mampu memenuhi kehendak anda. Jika anda mahu bermain permainan video 3D pada peranti Android sekali lagi telefon ini mampu melakukannya dengan cukup baik. Tetapi jika anda kurang gemar atau mudah mual kemampuan 3D telefon ini akan membuatkan anda muntah macam lakonan Fasha Sandha mengandung didalam slot drama Cerekarama!
Kemampuan telefoni Optimus 3D adalah baik. Panggilan dapat diterima dengan jelas dan terang. Tiada masalah antena ketika melakukan panggilan telefon seperti yang berlaku pada kebanyakkan telefon pintar yang dihasilkan syarikat buah berpengkalan di Cupertino.
PENANDA ARAS : Quadrant dan Antutu Benchmark
Apabila aplikasi penanda aras Quadrant dan Antutu digunakan jelas kelihatan pemproses Cortex A9 yang digunakan telefon ini bukan lawan kepada chip Exynos yang digunakan didalam Samsung Galaxy S2. Markah yang diterima boleh dikatakan sederhana dengan beza sebanyak 1000 mata jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy S2.
BATERI
Berbanding telefon pintar dua teras yang ada dipasaran sekarang, bateri yang digunakan Optimus 3D adalah yang terkecil dengan hanya kapasiti 1500 mAH. Dalam penggunaan biasa hayat bateri hanya mampu bertahan selama 12 jam. Dalam *penggunaan berat Optimus 3D hanya mampu bertahan selama 7 jam sahaja.Pencabar terdekatnya Samsung Galaxy S2 mampu bertahan sehingga 9 jam secara purata. Harus diingatkan SGS2 mempunyai pemproses 1.2 GHz dengan bateri 1650 mAH.
*Penggunaan berat – 3G , Whatsapp, Twitter , Email serta Facebook dengan penyelerasan automatik sepanjang masa
PRO dan Kelebihan
- Mampu mengambil video serta gambar dalam 3 dimensi
- Hab 3D memudahkan pengguna mengakses fungsi 3D telefon seperti permainan video, Youtube dan galeri
- Antaramuka yang bertindak balas dengan baik tanpa masalah sela masa (lag) pada kebanyakkan aplikasi yang diuji
- Bermain permainan video dalam mod 3D amat seronok dan lancar.
- Liang HDMI mini
- Sokongan Android Ice Cream Sandwich bakal tiba dan akan diumumkan bulan ini
KONTRA dan Kekurangan
- Masa yang diambil untuk boot up yang terlalu lama.
- Agak tebal jika dibandingkan telefon pintar Android terkini
- Melihat video dan gambar secara 3D agak memualkan apabila digunakan pada jangka masa yang lama
- Jangka hayat operasi yang terlalu pendek dan tidak memuaskan
- Pada harga saranan RM2199 ianya terlalu mahal
KESIMPULAN
LG Optimus 3D ialah sebuah peranti niche yang mensasarkan demografi kecil yang mahukan kemampuan 3D didalam telefon mudah-alih mereka. Teknologi yang sedia ada masih belum cukup matang dan sempurna. Masalah utama peranti yang menggunakan teknologi yang sedia ada ialah paparan 3D yang dihasilkan memualkan pengguna setelah beberapa ketika. Jangka hayat bateri yang menyedihkan juga memcacatkan peranti ini. Adalah sukar untuk mengesyorkan telefon pintar ini kepada pengguna diluar sana kerana ada peranti yang lebih baik terjual diluar sana. Pada waktu ini hanya mereka yang mahukan kemampuan 3D dan mempunyai daya menahan muntah tahap adiwira sahaja yang boleh disyorkan menggunakan peranti ini.