Dengan dunia yang penting akan statistik dan angka untuk setiap perkara, kini Google telah pun mengumumkan sokongan YouTube Analytics, membawakan pelbagai data berkaitan sesuatu video yang terdapat pada YouTube, dimana pemilik yang memuat-naik video tersebut boleh mendapatkan pelbagai data berkaitan siapa yang menonton video tersebut dengan amat mendalam sekali.
Memandangkan Google sendiri mempunyai Google Analytics, mungkin membangunkan teknologi YouTube Analytics bukanlah suatu masalah yang besar. Menariknya mengenai YouTube Analytics, ia menyediakan rumusan statistik untuk sesuatu saluran YouTube ataupun sesuatu video, dan bagi mereka yang mementingkan lebih data, mereka boleh mendapatkannya dengan lebih mendalam, berkaitan siapa yang menonton, dari mana mereka datang, bila masa sesuatu video itu ditonton ramai, dan lawatan setiap hari yang diterima sesuatu video.
Bagi para pemilik saluran YouTube, atau pernah memuat-naik video pada YouTube, anda boleh akses data berkaitan perkara ini melalui halaman khas yang disediakan YouTube di YouTube Analytics.