Fungsi input suara semakin meningkat popularitinya akhir-akhir ini, dengan pelbagai aplikasi yang diperkenalkan membawakan sokongan bantuan pintar melalui input suara. Dan setelah kita dapat melihat video perbandingan yang kurang adil antara TellMe dan Siri sebelum ini, kini salah seorang pengguna telah membuat video yang lebih adil antara kedua-dua platform ini.
Untuk makluman semua, Siri dan TellMe adalah dua perkara yang berbeza, dimana Siri menyediakan bantuan pintar dengan sokongan AI, manakala TellMe lebih kepada memudahkan input melalui suara.
Melalui video juga beberapa perkara menarik berkaitan dengan teknologi TellMe turut diperlihatkan, termasuk sokongan menghantar mesej, sokongan membaca mesej dari Facebook, sokongan Facebook Chat, dan integrasi TellMe dengan mendalam bersama Bing.
Walaubagaimanapun, bagi kami di Amanz yang banyak menggunakan bahasa Malaysia, kami masih jatuh cinta dengan Android 4.0 yang didatangkan dengan sokongan input bahasa Malaysia padanya. Mungkin kelak kita akan dapat melihat Siri dan TellMe menyokong bahasa Malaysia, namun masih tidak diketahui bilakah perkara tersebut akan berlaku.