Apple iPhone 4S telah pun dilancarkan oleh Apple pada bulan Oktober yang lepas, sehari sebelum Steve Jobs meninggal dunia. Kini, setelah lebih daripada 2 bulan ia dilancarkan, akhirnya iPhone 4S akan tiba di Malaysia dan dilancarkan bersama-sama oleh Celcom, DiGi dan Maxis pada hari yang sama, iaitu pada 16 Disember kelak.
Rekabentuk
Seperti semua sedia maklum, iPhone 4S tidak membawakan perubahan drastik dari segi rekabentuk. Antara perubahan yang kelihatan adalah kedudukan butang pada bahagian tepi yang kebawah sedikit berbanding iPhone 4, selain perubahan pada garisan alur bahagian tepi pada iPhone (antena?). Ini bermakna, berkemungkinan beberapa sarung lindungan yang dibangunkan untuk iPhone 4 mungkin tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana terdapat beberapa perubahan kedudukan butang pada bahagian tepinya.
Sistem Operasi – iOS 5
iPhone 4S dijana oleh iOS 5 yang telah diperkenalkan oleh Apple sebelum ini, membawakan beberapa penambahan padanya, termasuk sokongan iMessage, NewsStand, dan beberapa perubahan tambahan yang mana anda boleh ikuti pada ulasan iOS 5 kami sebelum ini.
Namun, salah satu komen yang diterima daripada pengguna global iPhone 4S adalah jangka masa tahan bateri yang amat singkat. Berkemungkinan perkara ini boleh diatasi oleh kemaskini sistem operasi yang akan diperkenalkan oleh Apple. Memandangkan kami tidak dapat mengujinya secara penuh selama seharian, kami tidak dapat memberikan komen penuh berkaitan dengan perkara ini.
Kamera
Salah satu peningkatan drastik yang dibawakan oleh iPhone 4S adalah kamera padanya, yang merakamkan gambar berkualiti lebih tinggi berbanding sebelum ini, membolehkan anda berkongsi akan gambar-gambar dengan kualiti lebih tinggi bersama rakan-rakan anda, selain memudahkan anda merakamkan detik manis dengan pantas pada kualiti tinggi walaupun tiada sebarang kamera berasingan pada ketika itu.
Perbandingan Kamera Pada Semua iPhone [via]
Dari segi spesifikasi, ia membawakan kamera 8-megapixel dengan sokongan rakaman 1080p padanya.
Lebih Pantas Daripada Sebelumnya
Mungkin semua sedia maklum, selain daripada kamera, iPhone 4S turut sama membawakan kemaskini pada bahagian pemprosesannya, dimana kini ia dijana menggunakan cip pemprosesan dwi-teras A5. Selain daripada pemprosesan, ia turut sama membawakan sokongan grafik yang lebih baik, membolehkan anda melayari web dengan pantas, selain menggunakan aplikasi dan permainan tanpa masalah melaluinya.
Siri – Sokongan Bantuan Pintar Melalui Input Suara
Salah satu fungsi yang baru yang dikhaskan pada iPhone 4S adalah sokongan bantuan pintar melalui input suara, dinamakan sebagai Siri. Untuk makluman, buat masa ini, SIri hanya menyokong input suara melalui bahasa Inggeris dan masih belum menyokong input suara dalam bahasa Malaysia. Malah bilakah sokongan bahasa Malaysia akan diperkenalkan juga masih tidak diketahui lagi.
Melalui ujian ringkas yang kami lakukan, ia memperlihatkan sokongan Siri masih memerlukan ucapan sesuatu perkataan itu amat jelas, dan mungkin tidak serasi dengan lidah kami yang sering bercakap bahasa Malaysia. Beberapa sokongan seperti lokasi dan yang lain juga masih terbatas untuk pengguna Amerika Syarikat, sekaligus menjadikannya tidak dapat digunakan secara penuh di Malaysia.
Namun begitu, sokongan pintar yang diperkenalkan pada Siri adalah sesuatu yang perlu dipuji, dimana ia boleh memahami kebanyakkan perkara, tanpa perlu menggunakan sebarang kata kunci seperti yang dibawakan oleh beberapa aplikasi input suara yang lain.
Perlukah Membelinya?
Jawapan ringkas, sekiranya anda mempunyai duit simpanan yang banyak dan meminati produk Apple, mungkin ia salah satu gajet yang boleh dibeli oleh anda. Mungkin sesetengah pengguna tidak akan membelinya kerana ia membawakan rekabentuk yang serupa. Tetapi dari segi dalaman, ia membawakan pelbagai perubahan dari segi cip pemprosesan, sokongan grafik, kamera dan beberapa perkara yang lain.
Tetapi, sekiranya anda hanya ingin membelinya kerana sokongan Siri, mungkin ia bukan salah satu pilhan pintar. Ya, Siri merupakan salah satu perkara yang menarik, namun bagi kami sendiri, bercakap kepada peranti masih lagi sesuatu yang pelik, dan mungkin kami tidak akan menggunakannya secara menyeluruh. Mungkin penggunaan Siri akan aktif pada minggu pertama atau kedua anda menggunakan peranti tersebut, tetapi penggunaannya mungkin mengalami penurunan dari semasa ke semasa, kerana bagi kami sendiri, menaip dan menetapkan sesuatu seperti jadual, mahupun menaip mesej lebih senang berbanding membacakannya.