Cari @ Amanz

Evernote merupakan salah satu aplikasi yang ditawarkan untuk para pengguna peranti mudah-alih dan juga desktop, termasuk PC dan Mac, membolehkan para pengguna menyimpan dan membuat nota menggunakan teks, audio atau bergambar dan mengaksesnya melalui sebarang peranti anda dengan mudah. Dan kini, melalui kemaskini yang diperkenalkan baru-baru ini, ia turut membawakan sokongan Bahasa Malaysia bersama-sama dengannya.

Evernote ditawarkan secara percuma dengan beberapa akses terhad, selain turut menawarkan versi berbayar dengan beberapa ciri-ciri tambahan. Evernote menjadi popular kerana sokongan sync padanya membolehkan anda membuat nota pantas menggunakan telefon pintar, dan kemudiannya mengakses dan membuat pengeditan lanjut menggunakan desktop dan sebaliknya.

Ia amat berguna bagi sesiapa yang membuat kajian, atau ingin membuat nota rujukan pada kelas, selain pada masa yang sama, boleh menangkap gambar dan menyimpan bersama-sama nota yang disimpan. Memandangkan ia disimpan pada awan, maka anda boleh mengakses dengan mudah dimana sahaja anda berada.

Bagi mereka yang berminat, anda boleh memuat-turun Evernote untuk iOS, Android, BlackBerry, Windows Phone, PlayBook, Mac OS X, Windows dan lain-lain secara percuma, dan mula menggunakannya hari ini.

Terima kasih Amirul Faisyal dan Zakir Jaafar.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd