Cari @ Amanz

qrcodeKod QR (QR Code) Pernahkah anda mendengar istilah ini? Buat mereka yang geek & mengikuti perkembangan teknologi, sudah pasti anda tahu apa itu Kod QR. QR adalah singkatan untuk Quick Response atau pun’respon/maklumbalas yang pantas’. Kalau kita selalu melihat Barcode yang biasa dipaparkan di produk-produk tertentu, Kod QR adalah seperti gambar dibawah ini.

Dengan menggunakan aplikasi tertentu di telefon bimbit anda, anda dapat mengimbas kod QR tersebut dan mendapat respon tertentu. Untuk gambar dibawah ini, sekiranya anda mengimbas kod tersebut pada telefon bimbit anda dengan menggunakan aplikasi tertentu (seperti Barcode Scanner/Android), anda akan mendapat notifikasi untuk melanggan buletin harian Amanz. Sungguh pantas dan mudah tanpa perlu menaip URL yang panjang.

Kegunaan Kod QR

Kod QR boleh digunakan untuk berkongsi 4 jenis maklumat dengan efisien

  1. Alamat laman web / URL
  2. Kandungan Teks (250 aksara)
  3. Nombor Telefon (dan boleh terus menelefon)
  4. Kod SMS (dan boleh diletakkan maklumat berkaitan penerima dan mesej sebanyak 150 aksara)

Pengalaman penulis, sejak dua tahun baru-baru ini banyak iklan di suratkhabar memaparkan Kod QR. Sekiranya anda pengguna AKLEH yang tegar, anda dapat melihat papan tanda bank yang menggunakan Kod QR. Berbanding Barcode yang hanya boleh menyimpan nombor dan huruf dan akan mengambil ruang selaras dengan panjang kod tersebut, kod QR sangat fleksible dengan keupayaan storan yang dinyatakan diatas. Hanya sekali imbas menggunakan aplikasi yang disediakan, anda dapat maklumat yang ingin dikongsikan.

Video dibawah merupakan salah satu penggunaan Kod QR yang dirasakan paling efektif dan EPIK di Korea Selatan.

Teruja bukan ?

Sejarah Kod QR

Penggunaan Kod QR telah lama diamalkan di negara-negara lain khususnya Jepun. Rakyat United Kingdom pula merupakan pengguna kod QR yang ketujuh didunia (sumber Wikipedia). Pada tahun 1994, syarikat Denso Wave menggunakan kod QR untuk mengesan dan menjejak komponen yang digunakan dalam pengilangan kenderaan (sumber). Malah, di Jepun, kod QR digunakan untuk mengesan pinggan sushi di kaiten belt (kabel yang membawa pinggan sushi) sama ada sushi tersebut sudah tidak sesuai untuk dimakan. Pinggan yang melalui terminal pengimbas akan diasingkan dari kaiten belt dan memastikan hanya sushi segar yang dihidang.

Contoh penggunaan kod QR di Malaysia

Mari kita lihat beberapa contoh penggunaan Kod QR di Malaysia. Dari pengguna perseorangan yang menggunakannya untuk memaparkan peta kenduri kahwin sehingga ke pusat membeli belah yang terkemuka di Malaysia.

Digunakan untuk kad kahwin

Memudahkan para pengunjung mendapatkan maklumat tertentu sambil mempromosi Facebook dan aplikasi peta pusat membeli belah

Digunakan oleh Comics Directory untuk melawat laman web semasa pameran.

Dan juga digunakan oleh Facebook Page Oh! Media untuk menyampaikan mesej khusus.

Adakah Kod QR sesuai untuk digunakan di Malaysia?

Sekiranya soalan ini ditanyakan 5 tahun dahulu, iaitu pada tahun 2006, kemungkinan ianya masih sesuatu praktis yang jarang diamalkan oleh masyarakat kebanyakan di Malaysia. Pada lingkungan tahun tersebut, hanya telefon pintar yang mempunyai fungsi aplikasi pengimbas kod QR dan harga telefon pintar pada masa tersebut agak mahal. Pengalaman pertama penulis menggunakan kod QR adalah dengan telefon N93 pada tahun 2007. Agak lambat, tetapi pada tahun 2007-2008, penggunakan Kod QR tidak meluas dan sekiranya anda mengemukakan pelan pemasaran ataupun fungsi yang menggunakan kod QR, kemungkinan besar ianya ditolak.

Akan tetapi pada alaf ke 21, bermula 2010, harga telefon pintar semakin murah dan semakin ramai pengguna telefon pintar, memungkinkan penggunaan kod QR dapat dipraktikkan dengan lebih meluas. Jenama-jenama besar juga telah mula mempraktikkan penggunaan kod QR jadi ini adalah masa yang sesuai untuk mengamalkannya di Malaysia. Boleh dikatakan, Kod QR telah mula diterima masyarakat dan terbukti apabila contoh diatas, dari pengguna persendirian sehingga pusat membeli belah menggunakan kod QR dalam teknik pemasaran mereka.

Dari mana nak dapat kod QR ?

Anda boleh mendapatkan kod QR ini secara percuma di Kaywa QR Code Generator. Terdapat banyak aplikasi untuk mengimbas kod QR di Apple App Store dan Android Market dan pastinya Blackberry App World.

Apa kata kita bincangkan dan kongsikan pendapat berkenaan kod QR ini di kotak komen bawah ini ?

Artikel ditulis oleh Ikhwan Nazri. Sekiranya anda ada artikel/rencana menarik, kemukakan idea anda sebelum mengarang dan emailkan kepada ask[at]amanz[dot]my.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd