Carian
Pandang Pertama Dan Ulasan Aplikasi Google Currents
December 10, 2011 Aman

Semalam, Google telah pun memperkenalkan aplikasi terbaru daripada mereka, iaitu Google Currents, yang mana merupakan salah satu aplikasi pembacaan kandungan dan berita yang interaktif. Dan untuk memberikan idea yang lebih dekat kepada para pembaca, kami telah mengujinya untuk beberapa minit, dan berikut merupakan ulasan penuh kami berkaitan dengannya.

Apakah itu Google Currents?

Google Currents merupakan aplikasi terbaru daripada Google, khas untuk pengguna iOS dan juga Android, yang mana melaluinya, ia membolehkan para pengguna iOS dan juga Android membaca kandungan, termasuk berita dan sebagainya dengan mudah, dalam antaramuka yang amat interaktif dan mesra peranti mudah-alih.

Untuk mendapatkan idea yang lebih mudah, Google Currents adalah aplikasi yang memudahkan pembacaan kandungan, seperti pembaca RSS yang lain, tetapi ianya memperlihatkan kandungan dalam bentuk yang lebih interaktif lagi.

Untuk Penerbit Kandungan

Untuk penerbit kandungan, mahupun pemilik laman dan sebagainya, anda boleh menyertakan kandungan anda bersama-sama dengan Google Currents dengan mudah, dimana Google sendiri menyediakan sebuah aplikasi khas membolehkan anda menambah logo, dan pelbagai data lain dengan mudah.

Walaubagaimanapun, hendaklah diambil perhatian yang mana aplikasi ini baru diperkenalkan untuk para pengguna di Amerika Syarikat sahaja, dan masih belum diperkenalkan kepada pengguna lain lagi.

Pada masa yang sama, kami masih belum mengetahui bagaimanakah para pemilik kandungan dapat menambah pendapatan melaluinya, memandangkan buat masa ini, ia hanya menarik kandungan sahaja, sekaligus menjadikannya bebas pengiklanan.

Untuk Pengguna

Salah satu perkara yang amat menarik minat kami sebagai pengguna adalah dimana ia memaparkan hanya kandungan sahaja, tanpa sebarang iklan, sekaligus menjadikannya amat serasi untuk penggunaan pada peranti mudah-alih, dan pada masa yang sama menjimatkan penggunaan data.

Namun, salah satu perkara yang kami dapati adalah, memandangkan ia masih lagi pada peringkat awal, berita yang diperlihatkan tidak dikemaskini serta merta, tetapi mengambil sedikit masa, dan kaedah sync padanya mengambil sedikit masa untuk memperlihatkan kandungan.

Walaubagaimanapun, berbeza dengan Flipboard dan beberapa aplikasi lain yang pernah kami cuba, salah satu fungsi yang menarik pada Google Currents adalah sokongan melihat berita-berita terhangat melalui fungsi Trending, sekaligus membolehkan anda tidak terlepas sebarang berita penting pada sesuatu masa.

Dari segi antaramuka, kami masih tidak begitu tertarik dengan Google Currents buat masa ini. Namun mungkin disebabkan pembangunan ini masih pada peringkat awal buat masa ini. Dan tidak mustahil pada masa depan, Google mengintegrasikannya bersama-sama dengan Google Reader dan Google Books.

Penutup

Walaupun Google Currents kelihatan menarik, dan dengan impak penjenamaan Google, semestinya ia boleh mencapai lebih banyak pasaran dan pengguna, bagi kami, Flipboard mahupun aplikasi Pulse kelihatan lebih baik buat masa ini.

Namun, mungkin dalam masa akan datang, Google Currents akan menjadi lebih baik lagi, memandangkan Google mungkin hanya sedang membuat ujian sahaja buat masa ini. Mungkin ia adalah salah satu sebab mengapa Google Currents masih belum diperkenalkan kepada pengguna diluar Amerika Syarikat buat masa ini.

Komen