Carian
Permulaan Era Selepas PC – Adakah Benar Zaman Komputer Peribadi Telah Berakhir?
December 11, 2011 Aman

Artikel ini ditulis oleh Ahmad Azam, yang mana kini sedang membuat kertas akademik berkaitan dunia era selepas PC. Beliau juga turut meminati dan berpengalaman dalam perkara berkaitan Android. Boleh dihubungi melalui Twitter di @damhamaza.

Pengenalan

Semasa pengumuman gajet iPad 2, Steve Job pernah mengatakan bahawa kita sekarang sudah berada di era selepas PC (Post PC Era). Perkara yang sama turut diulangkan oleh Steve Job ketika ditemuramah di All Things Digital pada Jun 2010, beliau menyatakan kita sudah sampai satu era yang baru, iaitu Post PC Era dan dalam masa yang sama mengakui PC “telah membawa kita jauh” dan perjalanan ini mungkin menjadi sedikit bebanan kepada seseorang.

Terma “Post PC Era” ini bukannya baharu. Pada tahun 2004, apabila IBM dan bekas CEO Microsystem – Jonathan Scwartz menyatakan bahawa “Kita telah berada era selepas PC sudah bertahun lamanya” dengan merujuk kepada statistik penjualan telefon yang telah mengatasi jualan PC. Terma ini turut diperkatakan pada tahun 1999, seorang saintis dari M.I.T memberi gambaran bahawa pada masa hadapan (kini) komputer menjadi kurang penting kerana kebanyakkan gajet akan mengandungi cip yang boleh berhubung dengan internet. Salah satu gajet itu adalah telefon pintar dan juga tablet.

Berakhirnya Era PC?

Sejak dari tahun 1995 lagi, orang ramai telah diperkenalkan dengan Windows 95. Penguasaan PC dan Microsoft sangat hebat sehingga mampu mengagalkan beberapa teknologi yang tidak berkembang bersandarkan Microsoft dan contoh yang paling dekat adalah Linux. Mereka mengharapkan Linux diterima oleh orang ramai, tetapi gagal.

Statistik terkini (ketika artikel ini ditulis) mengenai penjualan PC yang dikeluarkan oleh Gartner, menyatakan walaupun ada sedikit peningkatan akan jumlah penjualan PC pada tahun 2011 berbanding tahun 2010, tetapi di pasaran-pasaran yang sudah matang (Contohnya di US, UK) jualan PC adalah mengecewakan. Populariti peranti seperti iPad dan telefon pintar telah sedikit sebanyak menjadi penyebab utama.

Pembuat PC seperti HP dan Dell sudah mula mencari jalan untuk mencuba perniagaan yang lain. Hewlett Packet (HP) pada mulanya mengejutkan ramai pelabur bahawa mereka akan menjual unit PC mereka, tetapi mengubah kembali keputusan itu, IBM pula telahpun menjual unit PC mereka kepada Lenovo pada tahun 2004 dan Intel pula telah membuat pelaburan besar sebanyak $300 juta untuk memulakan projek Ultrabook dalam usaha untuk kekal relevan setelah gagal untuk memasuki pasaran telefon pintar / tablet.

IDC mengjangkakan pada tahun 2015, lebih ramai pengguna akan berhubung dengan internet menggunakan telefon pintar atau tablet berbanding PC.

Pandangan Penulis

Saya melihat perkara ini adalah lumrah dalam mana – mana teknologi. Satu perkara yang timbul pasti akan berakhir. Orang yang berniaga pasti tahu bahawa apabila sesuatu produk telah sampai tahap “matang”, pasti akan mula menunjukkan graf penurunan.

Disesetengah pasaran yang sudah mencapai tahap matang, mungkin era PC sudah berakhir atau sekurang – kurangnya menunjukkan tanda sedemikian. Tetapi bagi pasaran yang belum diterokai sepenuhnya, inilah peluang kepada pembuat PC ini untuk kekal relevan dan sekiranya mereka tidak mula untuk memasuki industri telefon pintar / tablet, kita boleh ucapkan selamat tinggal. Ada beberapa faktor yang menyebabkan berakhirnya era PC, dimana ia akan disentuh lebih mendalam di artikel yang seterusnya iaitu “Bermulanya Post PC Era” dan juga “Usaha Intel & Microsoft Untuk Kekal Relevan”.

Artikel ini ditulis oleh Ahmad Azam, yang mana kini sedang membuat kertas akademik berkaitan dunia era selepas PC. Beliau juga turut meminati dan berpengalaman dalam perkara berkaitan Android. Boleh dihubungi melalui Twitter di @damhamaza.

Komen