Seperti dilaporkan oleh kami sebelum ini, HackWeekend kedua telah pun berlangsung sepanjang dua hari ini, dimana dalam tempoh 24 jam, para pembangun hadir dengan pelbagai idea menarik, dan melalui beberapa projek yang dipersembahkan, Taxi Watch memenangi undian paling banyak daripada kalangan hadirin pada hari tersebut.
Taxi Watch secara ringkasnya membolehkan anda mengetahui reputasi sesuatu teksi itu dengan mudah, dimana dengan menggunakan nombor plat sahaja, anda boleh mengetahui apakah aduan yang dilakukan oleh pengguna terhadap mereka.
Menariknya, perkhidmatan tersebut juga turut sama diintegrasikan bersama-sama dengan sokongan SMS, membolehkan anda menyemaknya dengan hanya menghantarkan SMS terus kepada 32355, dan mendapat keputusan serta merta. Untuk melakukan aduan juga, anda perlu melakukannya melalui SMS, membolehkan anda melakukan aduan serta merta berkenaan dengan sesuatu teksi terus ketika berada didalamnya, tanpa perlu risau mengenai perkhidmatan internet dan sebagainya.
Memandangkan ianya dibangunkan dalam tempoh kurang 24 jam, beberapa halaman masih lagi belum diaktifkan sepenuhnya, namun ia membawakan idea yang menarik, dan mungkin perkhidmatan ini boleh dijayakan dengan penyertaan lebih ramai pengguna melakukan aduan mengenai sesuatu teksi, selain pada masa yang sama membolehkan teksi lebih mematuhi undang-undang dan menjaga pelanggan mereka.