HackWeekend 2 Memperlihatkan Aplikasi Lebih Berkualiti Dihasilkan

HackWeekend 2 Memperlihatkan Aplikasi Lebih Berkualiti Dihasilkan

Diterbitkan pada Dis 11, 2011 oleh .


Gambar : HackWeekend

HackWeekend yang kedua telah pun berakhir dengan jayanya hari ini, yang mana memperlihatkan ramai pembangun berjaya menghasilkan pelbagai aplikasi yang menarik dalam tempoh kurang 24 jam. Secara kasarnya, boleh diperkatakan, kualiti aplikasi yang dihasilkan telah meningkat berbanding pada HackWeekend yang pertama diadakan sebelum ini, dan berikut merupakan senarai penuh aplikasi yang dihasilkan pada hari ini.

Taxi Watch

Taxi Watch

Seperti kami laporkan dalam artikel sebelum ini, Taxi Watch merupakan salah satu aplikasi yang membolehkan anda mengetahui tahap reputasi sesuatu teksi itu dengan menggunakan nombor plat, dan pada masa yang sama, anda turut boleh menghantar pelbagai komentar terus melalui SMS dan menyertakannya pada laman Taxi Watch untuk rujukan bersama pelbagai pengguna.

Projecker

Salah satu aplikasi menarik yang dihasilkan oleh para pelajar tahun akhir, dimana melalui Projecker (Project Tracker) ia membolehkan anda melihat pelbagai progress berkaitan sesuatu kerja dan tugas dengan mudah, dan mengikut latar masa.

Grupico

Daripada bekas pembangun yang membangunkan Qwest pada HackWeekend pertama, melalui Grupico, mereka masih memfokuskan kepada aplikasi berasaskan geolokasi, membolehkan dan mengalakkan aktiviti diantara rakan-rakan disesuatu lokasi yang sama, dan pada masa yang sama membolehkan mereka bersembang dengan mudah terus melalui aplikasi tersebut.

Electoral

Dengan pilihan raya yang semakin dekat menjelang tiba, aplikasi ini dibangunkan dengan tujuan untuk memperkemaskini pangkalan data untuk senarai pengundi, dimana melaluinya, para pengguna boleh menyumbang tenaga dengan memberikan laporan berkenaan dengan rumah tanpa alamat, atau sekiranya pengundi tidak lagi tinggal disana, mempunyai angka pengundi yang ramai disesuatu lokasi, dan sebagainya. Pembangun berharap dengan aplikasi ini, pangkalan data pengundi lebih tersusun dan memaparkan maklumat terkini.

Pomber

Melalui Pomber, ia membolehkan anda merumuskan segala kerja harian anda, dan menghantar kepada ketua anda dengan mudah pada penghujung hari. Melaluinya, ia membolehkan anda membuat senarai kerja atau tugas yang sedang dilakukan, dan telah selesai dilakukan, dan segala tugas yang telah selesai dilakukan akan dihantar dalam satu emel yang dirumuskan pada penghujung hari (tepat 6 petang) kepada ketua anda, sekaligus memudahkan laporan harian anda dilakukan. Pomber menggunakan akaun Twitter untuk digunakan.

KL Train

KL Train dibangunkan khas untuk para pengguna iOS, dimana ia membolehkan anda merancang perjalanan menaiki keretapi di Lembah Klang dengan mudah, tanpa mengira RapidKL, Komuter, Putra dan sebagainya, dimana selain menawarkan peta perjalanan, ia turut sama mengintegrasikan sokongan GPS, membolehkan anda mengetahui stesyen keretapi terkini, serta perjalanan ke sana melalui penggunaan Google Maps.

Ice Breaker

Ingin bertegur sapa dengan gadis jelita, mahupun jejaka kacak, tetapi tidak mengetahui topik yang ingin dibincangkan? Melalui aplikasi Ice Breaker ini ia menyediakan beberapa cadangan perkataan atau ayat yang anda boleh ucapkan, bergantung kepada lokasi berbeza dan juga bergantung kepada jantina, sekaligus pada masa yang sama menambah kenalan baru anda.

EzyPzy

Lebih kurang menyerupai idea Beli.la, EzyPzy membawakan kemudahan untuk berjual-beli terus melalui peranti mudah-alih anda, dan menggunakan PayPal sebagai medium bayaran. Pada masa yang sama, EzyPzy turut mengintegrasikan sokongan sosial, membolehkan anda turut sama melihat aktiviti rakan-rakan anda, dan barang yang dibeli oleh mereka. Buat masa ini, aplikasi EzyPzy ini masih belum boleh diakses lagi.

TeamWork

Mungkin ramai yang sedia mengenali aplikasi CampFire, yang menawarkan fungsi sembang secara berkumpulan, dan juga membuat keputusan dengan mudah. Namun, ianya merupakan aplikasi berbayar, dan TeamWork ini merupakan salah satu alternatif percuma untuknya.

Lain-Lain

Antara aplikasi lain yang turut dipersembahkan adalah termasuk:

Green Action List – Menawarkan senarai perkara yang boleh dilakukan dalam menjadikan bumi lebih hijau, dan kurangkan pencemaran.
Cushion – Salah satu aplikasi khas untuk pembangun, iaitu couch DB driver untuk node.js.
Navigation – Navigasi dalam bangunan yang ringkas, membolehkan anda ketahui bagaimana hendak ke sesuatu kedai ataupun tempat dalam bangunan (pusat membeli-belah) dengan mudah dan pantas.
InchCrawl – Aplikasi untuk melihat pencapaian berdasarkan kepada kajian saintifik, dan memudahkan anda mengira pelbagai perkara.
BigAppTV – Menawarkan dadu dalam bentuk aplikasi maya, yang turut didatangkan dengan sokongan bunyi dan juga getaran, menjadikannya berfungsi sama seperti dadu asli – boleh digunakan dalam pelbagai permainan dengan mudah.
World IT Events – Aplikasi Android yang menawarkan senarai informasi berkaitan acara-acara IT yang diadakan di seluruh dunia.


TIPS & ULASAN