Dunia rangkaian sosial terus meriah, dimana selepas Google menyertainya melalui Google+, kini Microsoft memperkenalkan salah satu projek mereka, dinamakan sebagai Socl dan memfokuskan sepenuhnya kepada para pelajar, dimana melalui Socl, Microsoft mengatakan ia mengabungkan pelayaran web, pencarian, dan juga rangkaian sosial dalam memudahkan proses pembelajaran.
Bertambah menarik lagi adalah dimana pendaftaran untuknya dilakukan melalui Facebook Connect. Buat masa ini, ia lebih memfokuskan kepada pengguna daripada Amerika Syarikat terlebih dahulu, dan mereka yang berminat boleh menyertainya dengan menghubungi pihak Microsoft secara terus melalui laman Socl.
Dan seperti semua dapat lihat, ianya masih lagi sebuah projek eksperimental daripada Microsoft Research, dan masih belum dilancarkan secara rasminya lagi. Sebelum ini, projek Socl ini pernah diperlihatkan, namun apa yang diperkenalkan sekarang adalah jauh berbeza dengan sebelum ini.
Daripada video ringkas yang diperlihatkan, ia menunjukkan yang mana melalui Socl, para pengguna boleh melakukan carian terus melaluinya, sekaligus berkongsi dengan mudah bersama-sama dengan rakan mereka yang lain. Dan selain daripada itu, ia juga turut membawakan fungsi seumpama Hangout, membolehkan para pengguna menonton video bersama-sama dengan rakan lain terus melalui Socl.