Siapa yang tidak mengenali siri permainan komputer popular, The Sims? Mula dikeluarkan pada tahun 2000, siri permainan simulasi kehidupan popular ini telah mendapat gelaran siri permainan komputer paling laris di dunia. Pada bulan Oktober yang lalu, pek penambahan untuk permainan The Sims 3, iaitu TS3: Pets telahpun mula dijual. Pek penambahan ini menambahkan binatang-binatang peliharaan yang boleh dipelihara oleh keluarga virtual anda.
Corak Permainanan
The Sims merupakan satu siri permainan simulasi kehidupan. Di dalam permainan ini, pemain boleh mencipta dan menguasai satu keluarga dan menjalani kehidupan mereka secara virtual. Simulasi kehidupan ini memberi peluang kepada pemain untuk mencuba pelbagai aspek kehidupan seperti menukar kerjaya, mempelajari ilmu tertentu, menjalinkan persahabatan dan membina keluarga serta pelbagai lagi. Selain itu pemain juga boleh mengubahsuai kediaman dan kawasan persekitaran mereka.
Pek penambahan terkini iaitu TS3: Pets menambahkan haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan kuda. Pemain boleh memilih untuk mencipta haiwan mereka sendiri dalam mode Create a Household, atau terus bermainan dengan keluarga sim sedia ada dan memujuk haiwan liar untuk menyertai keluarga mereka. Setiap daripada haiwan berikut mempunyai sifat dan keistimewaan masing-masing. Kucing contohnya boleh dilatih untuk mencari dan memburu haiwan-haiwan kecilan, anjing pula boleh menolong mengawal kediaman anda dan menggali harta karun. Kuda yang diperkenalkan julung kalinya di dalam siri The Sims ini boleh dilatih untuk berlumba dan sim anda boleh menunggang mereka di dalam pertandingan!
Di samping itu, terdapat pelbagai haiwan-haiwan peliharaan yang lain dari keluarga rodent, reptilia dan burung yang boleh dibeli terus dari akuarium atau sangkar mereka. Namun sekiranya anda inginkan haiwan yang lebih unik dan eksotik, anda haruslah melatih kucing anda untuk memburu mereka, atau anda boleh mengembara dan mencari mereka sendiri.
Mengikuti tradisi pek-pek tambahan permainan Sims sebelumnya, TS3: Pets turut mempunyai satu makhluk istimewa. Antara makhluk istimewa yang telah diperkenalkan pada pek sebelum ini ialah hantu/roh, mumia, robot, puntianak dan kawan imaginasi kanak-kanak. Namun kali ini makhluk istimewa pek ini adalah dari kategori haiwan, iaitu kuda bertanduk/unicorn. Unicorn mempunyai kebolehan istimewa seperti teleportasi, menyembur api, merahmati sim anda serta mengubati mereka dari penyakit. Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk mencari dan mendekati makhluk ini di dalam permainan anda.
Ulasan Penulis
Walaupun secara keseluruhan penulis agak berpuas hati dengan pek kali ini, penulis juga agak hampa kerana pek kali ini mempunyai beberapa kekurangan seperti interaksi dengan haiwan minoriti yang agak membosankan serta kekurangan barangan untuk Sim seperti pakaian, jenis rambut, perabut dan pelbagai lagi. Namun begitu, pek kali ini merupakan antara pek terbaik The Sims 3 pada pandangan penulis.
Ditulis oleh Riez Forester untuk Amanz Network. Ikuti beliau di @RiezForester.