Carian
Permulaan Era Selepas PC – Adakah Zaman Komputer Peribadi Telah Berakhir? (Siri 2)
December 17, 2011 Aman

Artikel ini adalah sambungan kepada artikel Permulaan Era Selepas PC – Adakah Zaman Komputer Peribadi Sudah Berakhir.

Terma

Komputer peribadi (PC) mempunyai perjalanan yang sangat menarik, tetapi sesetengah orang berpendapat bahawa zaman PC sudah mula berlalu dan sekarang kita mula bergerak ke zaman selepas PC yang boleh dipanggil sebagai “Ubiquitous Computing” (Ubiquitous bermaksud: berada dimana – mana sahaja dalam masa yang sama).

Tiada terma atau maksud yang khusus bagi era selepas PC ini, tetapi saya tertarik dengan pernyataan oleh Walt Crawford:-

Apabila pemain industri komputer becakap mengenai Era Selepas PC, mereka tidak merujuk kepada satu keadaan dimana PC tidak lagi digunakan, tetapi lebih kepada merujuk evolusi PC kepada satu hab yang bersepadu untuk pelbagai perkara yang kita lakukan.

Banyak artikel yang saya baca menyatakan terma Era Selepas PC ini banyak dikaitkan dengan telefon pintar dan juga tablet yang mempunyai kebolehan untuk berhubung dengan internet dan juga melakukan perkara – perkara asas yang biasa kita lakukan di PC. Era Selepas PC juga boleh dipanggil sebagai ‘Mobile Era’.

Seperti yang saya tulis sebelum ini, jualan telefon bimbit telahpun mengatasi jualan PC dengan jualan pada suku kedua tahun 2011 sahaja sudahpun mencecah sebanyak 400 juta lebih. Ramai berpendapat bahawa PC adalah hanya untuk bekerja sahaja manakala penggunaan telefon pintar adalah untuk melihat video, panggilan video, melayari internet, dan lain – lain.

Sebab

Segala evolusi teknologi menyebabkan perubahan kepada hidup sosial. Ramai dikalangan kita sudah mula untuk menguruskan sesuatu secara atas talian samada perkhidmatan bank, membeli belah, dan pelbagai lagi. Disebabkan ini, kita memerlukan sesuatu peranti yang membolehkan kita untuk melakukannya dimana sahaja yang kita mahu.

Peningkatan penggunaan Facebook juga menjadi salah satu faktor utama kerana jutaan manusia (kita) melihat cara yang mudah untuk kita menggunakan Facebook adalah melalui telefon pintar.

Bagi pengguna yang ‘non-tech-savvy‘, menggunakan telefon pintar untuk melayari internet dan berinteraksi dengan keluarga adalah peranti yang sangat sesuai untuk mereka.

Data menujukkan, dua per tiga daripada pengguna yang mempunyai telefon pintar memuat turun aplikasi sosial dan permainan, 50 % pengguna Facebook sekurang – kurangnya menggunakan Facebook sekali sehari dan 28.6% pengguna telefon pintar menggunakan peranti ini untuk akses laman sosial dan blog.

Kesan daripada laman sosial ini kita boleh lihat di dua OS yang popular iaitu iOS dan Android. Android sudahpun mempunyai integrasi yang mendalam dengan Twitter dan Facebook, manakala iOS bermula dengan iOS 5, ada satu fungsi integrasi yang mendalam dengan Twitter.

Telefon pintar juga membolehkan kita untuk berkongsi pelbagai gambar kurang daripada seminit selepas ia diambil.

Peralihan Dari PC kepada Telefon Pintar

Kekal (Tidak Beralih) kepada dimana – mana sahaja

Sekiranya penggunaan PC (Desktop), ia adalah bersifat tetap disesuatu tempat dan tidak beralih (kecuali anda rajin tukar posisi laptop dan desktop anda)

Telefon pintar memudahkan anda membawa peranti berkenaan dimana – mana sahaja. Tekan sahaja butang kuasa, terus tersedia untuk anda gunakan. ‘Ubiquitous Computing’ lebih kepada ‘kesedaran lokasi’ kerana ia mempunyai pelbagai sensor, seperti GPS, accelerometers, dan lain – lain.

Anda sudah tentu tidak menggunakan PC anda di tandas kan?

Formal kepada kasual

Jika di PC, ia mempunyai ‘booting-up’ dan ‘shut-down’ masa yang formal. Berbeza dengan telefon pintar yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat untuk anda.

Ia boleh diumpamakan seperti orang yang menunggu digarisan untuk membeli tiket wayang (PC) atau membeli tiket wayang secara atas talian (telefon pintar)

Abstrak kepada fizikal

Tiada lagi tetikus atau papan kekunci memenuhi ruang pemandangan anda. Skrin sesentuh membolehkan anda berinteraksi secara terus dengan peranti anda. Kamera yang mempunyai pelbagai fungsi pengesan wajah, mempunyai pengesan suara, dan juga pengesan pergerakan. Kenal dengan Xbox Kinect? Mungkin pada masa akan datang, Microsoft akan memasukkan teknologi mereka ke dalam Window Phone 7.

Pandangan Penulis

Era selepas PC sudah mula menampakkan kesannya. Pelbagai teknologi telefon pintar ini sudah mula mendapat perhatian oleh syarikat – syarikat perniagaan produk dan perkhidmatan. Siapa sangka pihak Air Asia menawarkan perkhidmatan ‘Check-In” melalui telefon pintar?¬†Begitu juga dengan Starbucks, Maybank, MAS, CIMB dan pelbagai lagi syarikat korporat tidak ketinggalan dalam menawarkan perkhidmatan mereka.

Namun apa yang saya lihat dan perhatikan, era selepas PC ini juga menyebabkan kita asyik tersenyum sendiri di depan telefon pintar dan mungkin juga kita semakin kurang untuk bercakap dengan rakan – rakan kita. Interaksi sosial secara digital mungkin meningkat, tetapi interaksi secara terus sesama manusia mungkin sudah berkurangan. Saya teringat akan satu iklan yang dikeluarkan oleh Fly.FM mengenai seorang gadis yang begitu asyik ber twitter sehingga dia lupa bahawa ada ramai lagi kawan-kawan di sekelilingnya.

Biarlah kita berada dimana era sekalipun, tanpa hubungan sesama manusia, ia tetap akan kosong.

Bersedialah kita semua untuk mengharungi era yang serba baru ini?

Artikel ini ditulis oleh Ahmad Azam, yang mana kini sedang membuat kertas akademik berkaitan dunia era selepas PC. Beliau juga turut meminati dan berpengalaman dalam perkara berkaitan Android. Boleh dihubungi melalui Twitter di @damhamaza.

Komen