Kreatiview #7 – Aidi Idham

Kreatiview #7 – Aidi Idham

Diterbitkan pada Dis 19, 2011 oleh .

Bersama kita minggu ini adalah Aidi Idham!

1. Beritahu sedikit mengenai diri anda dan apa yang anda buat:

Assalamualaikum & Salam Sejahtera. Nama saya Aidi Idham. Anak kedua dari 3 orang adik beradik. Saya berasal dan menetap di Kuala Lumpur. Sebelum ini saya belajar di Multimedia Universiti, Cyberjaya dan mendapat kelulusan degree dalam jurusan Multimedia Kreatif, bidang Media Innovation. Media Innovation lebih berkaitan dengan seni dalam pengiklanan seperti iklan televisyen, pameran dan pelbagai lagi media iklan.

Kepakaran saya adalah bermain dengan ‘vector’. Setelah sekian lama menceburi dunia multimedia kreatif sebagai ‘freelancer’ dan minat yang sangat mendalam tentang seni digital, maka terciptalah gaya dan trademark vector art saya yang tersendiri.Gaya seni yang saya hasilkan adalah berlainan dan lebih kepada gabungan moden dan seni kartun yang mempunyai mesej dan cerita dalam bentuk maksud tersirat. Dengan itu, saya mula lebih berani dan mula menceburi pameran-pameran urban art di sekitar Kuala Lumpur sebagai visual artis. Kini, saya telah menubuhkan syarikat saya sendiri iaitu Eggbash Clothing. Eggbash Clothing merupakan label indie streetwear untuk golongan muda dan bakal menemui pelanggan pada hujung bulan Julai tahun ini. Namun, saya juga masih membuat projek-projek freelance tetapi lebih spesifik kepada style vector art tersendiri. Kalau anda rasakan projek anda memerlukan ‘special touch’ atau style yang lain daripada yang lain, bolehlah hubungi saya melalui www.facebook.com/aidi.idham atau  www.twitter.com/aidiidham . Alang-alang silalah layari www.facebook.com/eggbash.clothing dan www.twitter.com/eggbashclothing

2. Beritahu kami mengenai portfolio anda yang dibanggakan:

Tajuk: ‘The Syndicate Child/Deep Sea Drama ‘ Tahun: 2009

Kalau dilihat portfolio saya (saya simpan sesetengah portfolio dalam facebook), yang paling saya banggakan adalah satu series yang saya namakan “The Deep Sea Drama” series. “Deep Sea Drama” series mengisahkan dunia laut dalam yang pelik dan unik disertakan kisah kehidupan masyarakat ikan laut dalam. Kisahnya pula berkaitan dengan kehidupan rakyat Malaysia. Walaupun series ini kurang mendapat sambutan orang tempatan sendiri, namun saya amat bangga kerana artwork series ini banyak dibeli oleh pelancong-pelancong dari luar negara. Sesetengah daripada mereka dari Australia, New Zealand dan United Kingdom. Bukan itu sahaja, series ini juga mendapat sambutan di Itali. Sebuah kelab di Rome telah mengupah saya untuk membuat koleksi “Deep Sea Drama’ untuk flyer kelab mereka. Saya juga telah bekerjasama dengan pihak disana untuk mengeluarkan ‘print’ art series itu untuk pasaran Itali.

3. Kongsikan pengalaman anda yang paling menarik didalam industri ini.

Pengalaman paling menarik di dalam industri ini adalah bertemu dengan ramai rakan-rakan baru yang sama motif perjuangannya terutama sekali ketika mengambil bahagian dalam pameran-pameran. Saling bertukar-tukar idea dan pendapat menjadikan mutu kerja kita lebih baik dan berkembang. Pernah dua kali saya dijemput untuk di‘feature’ dalam pameran seni yang dianjurkan di Hawaii, Amerika Syarikat. Tapi apakan daya. Saya terpaksa menolak kerana duit tidak mencukupi. Pengalaman mendapat jemputan dari luar negara itu sudah cukup membuatkan saya gembira.

Tajuk: ‘Hujan/ Lonely Soldier Boy ‘ Tahun: 2011

Malahan membuktikan bahawa kerja saya mampu membuka mata orang luar. Lagi satu pengalaman yang menarik adalah apabila satu Malaysia dapat melihat hasil kerja saya. Saya telah mereka design album band Hujan yang terbaru iaitu Lonely Soldier Boy dan album mereka telah dipasarkan di seluruh Malaysia. Banyak juga feedback yang bagus tentang design yang saya dapat :)

4. Pendapat anda mengenai industri ini di Malaysia:

Dari mata saya, industri seni di Malaysia ini masih mundur. Kalau di bandingkan dengan Negara jiran kita Indonesia dan Thailand pun, kita masih mundur. Masih ramai masyarakat Malaysia yang buta seni. Seni itu hanya lukisan. Itulah persepsi koman masyarakat Malaysia. Sedangkan seni sudah berkembang mengikut zaman. Sekarang kita ada seni graffiti, digital, contemporary dan pelbagai lagi. Namun ramai tidak tahu atau tidak ambil tahu tentang perkembangan ini. Ada juga tanggapan negatif bahawa artis tidak mempunyai masa depan. Jadi ramai jugalah katak di bawah tempurung dengan mindanya yang masih sempit. Oleh sebab itu, ramai artis urban menghadapi masalah menjual hasil mereka oleh kerana tidak mendapat sokongan orang tempatan sendiri.

Tajuk: ‘Cat invasion = Publika Solaris Dutamas’ Tahun: 2011

5. Akhir sekali, harapan anda terhadap industri kreatif pada masa akan datang:

Harapan saya terhadap industri kreatif pada masa akan datang ialah dengan adanya lebih banyak lagi organisasi (kerajaan atau swasta) yang akan menyumbang dana untuk menolong artis-artis yang baru hendak berkecimpung dalam industri seni Malaysia. Bukan hanya untuk artis seni halus sahaja, tetapi kepada semua artis media lain juga. Sebenarnya ramai dikalangan muda mudi Malaysia yang berbakat international tetapi tidak dapat dibawa ketengah kerana kesempitan dana. Bayangkan kalau mereka diberi peluang untuk menunjukkan hasil kerja mereka di luar Negara seperti Amerika dan Eropah. Malaysia juga akan mendapat nama nanti. Malangnya, sekarang artis muda tempatan hanya menjadi ‘jaguh kampung’ sahaja. Kemudian saya berharap pada masa akan datang akan adanya lebih banyak ‘art fest atau art week’ di Malaysia. Maknanya lebih banyak platform untuk menunjukkan bakat. Jikalau tidak, muda mudi tidak mempunyai hala tuju dan akhirnya perjuangan itu sia-sia. Akhir sekali saya berharap persepsi seni hanya sebuah lukisan dapat dibuang dan seni mampu menjana sektor ekonomi dapat dipupuk. Kalau ada kempen sebegini pada pendapat saya lebih bagus.


TIPS & ULASAN