Cari @ Amanz

Nampaknya, dengan Facebook yang semakin berkembang luas, mereka bakal memperkenalkan pelbagai kaedah baru untuk membolehkan pengiklan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, dan salah satunya adalah dengan terus memperlihatkan kemaskini status ataupun gambar dan pautan terus pada bahagian News Feed pada pengguna.

Fungsi ini dijangka akan diperkenalkan pada Januari 2012 kelak, dan Facebook diperkatakan hanya akan memperlihatkan pengguna satu iklan sahaja sehari pada bahagian News Feed, supaya para pengguna tidak terganggu dengannya.

Buat masa ini, Facebook hanya sekadar memperlihatkan Sponsored Stories dan juga iklan hanya pada bahagian tepi sahaja, dan dengan memperlihatkannya pada bahagian News Feed, semestinya ia akan menerima impak yang lebih tinggi lagi.

Selain Facebook, sebelum ini, Twitter telah pun mula memperkenalkan iklan pada bahagian timeline di Twitter. Namun semestinya impak dan kesan kepada pengguna berbeza, memandangkan pada Twitter ia bergerak ke bawah dengan lebih pantas, memandangkan pengguna mengemaskini padanya lebih pantas, berbeza dengan pada Facebook.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd