Dengan dunia teknologi dan perkomputeran yang bergerak dengan pantas, kadang-kala kami terlepas pandang beberapa perkara dan berita, dan salah satunya adalah berkaitan dengan aplikasi multimedia dan rekabentuk akan datang daripada pihak Adobe, iaitu Adobe Photoshop CS6. Buat masa ini, tarikh pelancarannya masih tidak diketahui lagi, namun disasarkan sekitar pertengahan tahun hadapan.
Semestinya, pihak Adobe sendiri telah merancang pelbagai pembaharuan yang bakal dibawakan bersama-sama dengan aplikasi tersebut kelak, dan salah satu fungsi menarik yang dijangka akan dibawakan adalah sokongan untuk membetulkan kembali gambar yang pudar dan kabur.
Kadangkala, ketika merakam akan gambar menggunakan kamera, tangan atau badan kita mungkin akan tergerak atau tergoyang, menghasilkan gambar yang tidak begitu jelas, dan agak kabur. Dan mungkin kita tidak dapat merakamkan detik-detik tersebut kembali.
Melalui Photoshop versi akan datang, salah satu fungsi yang didatangkan bersama, dikenali sebagai “Deblurring”, membolehkan para pengguna Photoshop membetulkan kembali gambar-gambar yang kabur dengan pantas menggunakan aplikasi tersebut.
Untuk menjayakan fungsi ini, Photoshop menggunakan sebuah algoritma khas yang membuat penganalisaan secara automatik dan sekaligus membolehkan para pengguna mengembalikan kembali gambar dalam bentuk yang lebih baik lagi dengan pantas, serta tidak merugikan sebarang gambar yang telah dirakamkan oleh anda sebelum ini.
Namun, seperti biasa, Adobe tidak menjanjikan sebarang perkara berkenaan pada versi berapakah fungsi ini akan diperkenalkan, walaupun ramai yang mensasarkan ia akan diintegrasikan bersama-sama Photoshop CS6 kelak.