Cari @ Amanz

Salah satu perkhidmatan berasaskan web yang menarik adalah Codecademy seperti mana yang pernah kami tuliskan sebelum ini. Kini, perkhidmatan tersebut terus berkembang dengan memperkenalkan beberapa perkara baru bersama-sama dengannya, selain turut memberikan petanda berkaitan apakah yang bakal dibawakan oleh mereka pada masa akan datang.

Apakah Itu Codecademy?

Bagi yang tidak pernah menggunakan perkhidmatan Codecademy, semestinya tertanya-tanya apakah yang ditawarkan oleh perkhidmatan tersebut. Secara ringkasnya, melalui Codecademy, ia membolehkan para pengguna belajar beberapa bahasa pengaturcaraan dengan mudah, terus melalui web dalam kaedah yang interaktif.

Setiap latihan diberikan secara berperingkat, membolehkan setiap pengguna yang tidak mengenali mahupun bagi sesiapa yang tiada sebarang asas mempelajarinya dengan pantas. Pada masa yang sama, setiap lencana dan anugerah yang diberikan, menjadikan pembelajaran sesuatu bahasa pengaturcaraan itu lebih menarik minat pengguna lagi.

Codecademy Melancarkan Labs

Pada hari ini, Codecademy terus memperluaskan perkhidmatan mereka, dimana selain daripada hanya menyediakan pembelajaran sahaja, mereka turut sama menyediakan sebuah editor kod berasaskan web, membolehkan sesiapa sahaja membangunkan sesuatu dengan mudah terus melalui perkhidmatan mereka, tanpa memerlukan sebarang aplikasi editor kod berasaskan desktop seperti sebelumnya.

Melalui Codecademy Labs, ia membawakan sokongan bahasa pengaturcaraan untuk Ruby, Python dan juga JavaScript, membolehkan para pengguna mengaturcara terus melalui pelayar web mereka, dan seterusnya terus berkongsi akan aplikasi yang dibangunkan mereka terus bersama-sama rakan lain dengan mudah.

Apakah Seterusnya Pada Codecademy?

Sehingga kini, kita dapat melihat pengajaran pada Codecademy lebih tertumpu kepada pengaturcaraan JavaScript dan yang berkaitan dengannya. Namun, melalui Labs mereka turut mengintegrasikan sokongan Python dan juga Ruby, sekaligus memberikan petanda yang mana mereka bakal memperkenalkan sokongan modul pembelajaran Ruby dan Python kepada para pengguna mereka tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd