Salah satu filem antarabangsa yang sedang hangat dimainkan di pawagam seluruh negara adalah Mission Impossible : Ghost Protocol. Seperti semua sedia maklum, beberapa teknologi yang dihasilkan pada hari ini, telah pun dipertontonkan melalui filem beberapa tahun yang lalu, dan melalui filem Ghost Protocol ini, beberapa teknologi yang bakal popular tidak lama lagi turut sama diperlihatkan.
Teknologi Imbasan Retina Mata
Perkara ini telah pun diperlihatkan melalui pelbagai filem sejak beberapa tahun yang lepas, dimana untuk tujuan keselamatan dan juga sekuriti, selain menggunakan kata laluan dan juga imbasan cap jari, imbasan mata juga turut sama dipergunakan.
Beberapa pembaca kami juga memberikan respon melalui Twitter, mengatakan yang mana teknologi imbasan retina mata ini telah pun mula digunakan di beberapa pejabat disekitar Kuala Lumpur.
Dengan dunia teknologi yang semakin berkembang luas dari hari ke hari, sekuriti dan keselamatan turut diberikan perhatian serius, dan mungkin ia akan menjadi salah satu teknologi yang popular dalam masa beberapa tahun lagi.
Teknologi Seumpama Microsoft Surface
Dengan peranti-peranti dengan sokongan sentuhan semakin popular, salah satu peranti yang dinantikan ramai adalah Microsoft Surface. Seperti semua sedia maklum, Microsoft sendiri telah memperlihatkan kebolehan membaca barangan yang diletakkan di atas Surface, dan melalui filem Ghost Protocol ini, mereka memperlihatkan kebolehan untuk membaca storan USB dengan hanya meletakkan pada skrin sahaja, tanpa perlu cucuk ia pada slot khas seperti pada hari ini.
Kereta Dengan Integrasi Peta Dan Faktor Keselamatan
Pada awal tahun ini, Google telah pun memperlihatkan demonstrasi untuk Google Drive, iaitu kereta yang dipandu secara automatik tanpa sebarang kawalan manusia. Walaupun dalam filem Ghost Protocol, mereka tidak memperlihatkan sebarang kereta yang dipandu automatik, salah satu teknologi yang diperlihatkan adalah integrasi peta dan sokongan GPS pada cermin hadapan kereta, yang mana turut didatangkan dengan sensor khas untuk mengetahui objek dihadapan, dan memberikan amaran sekiranya terdapat bahaya dan sebagainya.
Walaupun ia mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk menjayakannya, tetapi ianya mungkin bukan sesuatu yang mustahil. Google sendiri telah membangunkan kereta automatik yang dipandu menggunakan sensor hadapan, dan mungkin dengan integrasi Google Maps dan sebagainya, ia akan dapat dijayakan dan direalisasikan dengan mudah.
Lain-Lain
Selain daripada itu, beberapa perkara lain, seperti penggunaan storan USB memperlihatkan yang mana walaupun perkomputeran awan makin popular, masih ramai yang menggunakan storan melalui USB untuk menyimpan data-data peribadi dan sulit.
Dengan zaman teknologi yang semakin bergerak pantas dari hari ke hari, mungkin kita akan dapat melihat pelbagai teknologi ini direalisasikan dengan mudah dengan hanya beberapa tahun pembangunan sahaja, berbeza dengan sebelum-sebelum ini yang mengambil masa berpuluh tahun untuk dijayakan.