Cari @ Amanz

Pernah suatu ketika dahulu semua ahli keluarga aku menggunakan telefon bimbit Nokia. Nokia menjadi telefon bimbit pilihan orang ramai kerana ianya mudah digunakan dan tahan lasak. Semua orang yang aku kenali ada sekurang-kurangnya satu cerita “telefon Nokia aku masuk longkang tapi boleh guna lagi” atau “telefon Nokia aku jatuh berderai tapi masih boleh disambung semula macam Humpty Dumpty”.

Sejak kebelakangan ini cerita yang kita dengar tentang Nokia bukan lagi cerita kenangan gembira tetapi lebih kepada mimpi buruk seperti “Nokia aku slow gila sampai dia berevolusi menjadi Slowpoke”. Nokia kini sebuah jenama jenaka dan sudah ditolak kebawah oleh pengeluar telefon bimbit yang lebih progresif seperti Samsung dan Apple. Rata-rata pengguna telefon bimbit hari ini mahukan telefon yang mampu berfungsi dengan baik dan bukan telefon yang tahan lasak. Tak percaya? Tanya sahaja pengguna iPhone4. Walaupun telefon ini tidak tahan dan mudah pecah seperti muka Manny Pachiao, masih ramai yang mendambakannya siang, malam dan kadang kala di subuh gajah.

Nokia N9 ialah telefon bimbit yang dikeluarkan Nokia bagi memperbaiki imejnya sebagai pengeluar telefon bimbit yang tidak mesra pengguna. Ketika diumumkan tahun lalu ramai peminat Nokia berharap peranti yang diperkasakan MeeGo Harmattan ini dapat membantu Nokia merampas semula kedudukan sebagai pengeluar telefon bimbit terbaik dunia.

Ketika diumumkan beberapa purnama yang lalu rata-rata ulasan yang diterima adalah positif. Ramai yang sukakan antaramukanya yang mudah dan teratur. Lebih ramai lagi yang suka rekaan minimalisnya. Beberapa minggu selepas itu Nokia menjatuhkan “bomb shell” dengan mengumumkan mereka tidak akan meneruskan pembangunan MeeGo Harmatan. Masa depan Nokia N9 terus terumbang ambing dan pengguna Nokia yang mahu membelinya terpaksa berfikir dua kali.

Persoalannya sekarang adakah Nokia N9 sebuah telefon bimbit yang harus anda miliki? Adakah MeeGo Harmattan mampu bersaing dengan iOS dan Android? Ikhlas aku katakan aku seorang peminat setia Nokia. Anda boleh katakan jika bercakap soal Nokia semestinya aku seorang yang berat sebelah bila mengulas peranti Nokia. Tetapi hari ini harus aku nyatakan aku sendiri pun tidak boleh mengesyorkan anda membeli Nokia N9. Mengapa? Sila baca ulasan penuh. Tapi sebelum itu mari kita lihat spesifikasi telefon pintar pertama dan terakhir yang menggunakan MeeGo Harmattan.

Spesifikasi Nokia N9

Dari segi spesifikasi N9 mempunyai perkakasan yang sederhana. Pemproses Cortex A8 1GHz yang digunakan satu generasi kebelakang dari apa yang ada dipasaran sekarang. RAM sebanyak 1 Gb memastikan N9 mampu melakukan pelbagai tugasan (multi-tasking) dengan mudah. Terdapat 2 pilihan storan terbina dalaman untuk Nokia N9 iaitu 16 atau 64 gigabyte.

Untuk kedua-dua versi tiada sokongan kad SD maupun output HDMI. Bateri N9 juga tidak boleh dibuka dan ini menyukarkan keadaan jika telefon ini tergendala ketika digunakan. Dari segi pilihan warna pula terdapat empat pilihan warna untuk versi 16 GB iaitu Biru, Magenta, Hitam dan Putih. Untuk versi 64 Gigabyte pula hanya model bewarna hitam ditawarkan.

MeeGo Harmattan

MeeGo Harmattan ialah sistem operasi yang dibina supaya mesra pengguna. Sebelum ini perisian Symbian^3 yang dibina oleh Nokia terkenal kerana mampu membuat penggunanya hilang sabar. Lokasi penetapan sesetengah fungsinya terletak didalam sub-sub menu yang tidak masuk akal. Tambah parah jika dibandingkan dengan sistem operasi peranti yang ada dipasaran, Symbian^3 memang jauh ketinggalan. Penaik-tarafan kepada Anna, 4 bulan yang lalu cuba memperbaiki permasalahan ini tetapi ianya masih gagal.

MeeGo Harmattan dibina bagi memudahkan anda menggunakannya. Kesemua antaramuka dan aplikasi dibina supaya dapat digunakan dengan menggunakan sebelah tangan. Aplikasi boleh ditutup dengan meggerakkan jari dari atas ke bawah skrin. Aplikasi yang aktif boleh diarahkan berfungsi di latar belakang dengan menggerakkan jari dari kiri ke kanan, kanan ke kiri atau atas kebawah. Anda tidak perlu menekan butang khas seperti yang digunakan iOS, Android dan Symbian. Jika anda mahukan sistem operasi yang minimalis dan mudah, MeeGo Harmatan pastinya akan terletak ditangga teratas sekali.

Setiap benda yang direka oleh manusia semestinya tidak sempurna. Sebaik-baik MeeGo Harmattan ada beberapa isu yang perlu aku utarakan disini. Pertama sekali permasalahan jumlah aplikasi yang terlalu sedikit di Nokia Store. Sama ada anda setuju atau tidak jatuh bangunnya sesebuah telefon pintar terletak kepada jumlah aplikasi yang boleh dimuat turun. Apple App Store dan Android Market menyenaraikan lebih 500 000 aplikasi manakala WP7 Marketplace meyenaraikan 50 000 aplikasi.

Bagaimana dengan aplikasi MeeGo di Nokia Store? Dari perkiraan ringkas yang aku lakukan terdapat kurang 1000 aplikasi yang boleh dimuat turun.

Anda mahukan aplikasi Whatsapp , Shazam , GSC , CIMB, Maybank dan Molome? Lupakan sahaja kerana kesemua aplikasi ini tidak dibangunkan untuk N9. Pilihan aplikasi yang boleh anda muat turun terlalu sedikit untuk sebuah telefon pintar. Kenapa perlu membayar RM1700 untuk Nokia N9 bila Samsung Galaxy Y yang mempunyai pilihan aplikasi lebih banyak dijual pada harga kurang RM500? Hanya seorang peminat tegar sahaja yang aku rasakan akan membeli Nokia N9 pada ketika ini.

Ini adalah agak menyedihkan kerana Nokia N9 bukanlah sebuah telefon yang gagal. Seperti aku nyatakan sistem operasi MeeGo Harmattan yang digunakannya cukup lancar dan senang digunakan. Binaan perkakasan juga sangat berkualiti. Tetapi jika tiada sokongan dari pembangun aplikasi dan pihak Nokia sendiri (Nokia sendiri membunuh MeeGo?) , apakah alasan anda untuk memiliki Nokia N9?

Nak tahu berapa teruknya Nokia Store untuk Nokia N9? Aplikasi WAJIB seseorang pengguna Nokia iaitu Gravity! (aplikasi Twitter) masih belum wujud. Ketiadaan Gravity! untuk N9 ialah seperti iOS tanpa Instagram. Jika aplikasi sepopular inipun masih tidak boleh dimuat-turun bayangkanlah nasib aplikasi lain.

Binaan Nokia N9

Nokia N9 menggunakan polikarbonat sebagai bahan binaan utamanya. Menurut Nokia ini mengurangkan masalah panggilan terputus kerana keseluruhan bahagian polikarbonat ini berfungsi sebagai antena. Bahagian skrin yang melengkung juga mempermudahkan aksi “swipe” yang menjadi tarikan utama N9. MeeGo Harmattan dibina bagi mengurangkan keperluan menekan butang dari mana-mana aplikasi. Aplikasi boleh ditutup atau diarahkan berfungsi dibahagian latar belakang semudah menggelongsorkan jari.

Secara automatik anda akan dibawa semula ke paparan utama sementara aplikasi yang aktif tadi kini berfungsi dibelakang tanpa gangguan. MeeGo Harmattan mempunyai kemampuan pelbagai tugasan yang terbaik pernah aku gunakan. Aplikasi masih kekal aktif sungguhpun ianya berfungsi di latar belakang. Ini berlainan dari system pelbagai tugasan yang digunakan pada sistem operasi iOS dan Windows Phone 7. Dalam Android pula ada had jumlah aplikasi yang mampu berfungsi di latar belakang. Siapa yang pernah menggunakan Android pasti sudah biasa dengan perangai Android yang secara suka hati mematikan aplikasi yang berfungsi di latar belakang tanpa disuruh.

Nokia N9 juga mempunyai kemampuan NFC dimana peranti seperti fon telinga, set Bluetooth dan pembesar suara boleh dipautkan kepada N9 hanya dengan melakukan sentuhan. Selain daripada itu fail-fail didalam N9 juga boleh dikongsi dan dihantar ke peranti lain yang mempunyai kemampuan NFC.

Kamera Nokia N9

Seperkara lagi yang menarik tentang Nokia N9 ialah kelajuan kameranya. Nokia memang sudah terkenal dengan kemampuan optik mereka tetapi sebelum ini kamera yang terdapat pada peranti mereka seperti Nokia N8 juga cukup terkenal dengan kelembapannya, berbeza dengan pada Nokia N9. Mengambil gambar adalah mudah dan cepat. Antaramuka operasi kamera juga dinaik-taraf dan jauh lebih cantik dari yang digunakan pada Symbian Anna.

Kamera 8-megapixel pada Nokia N9 masih tidak dapat menandingi kamera 12-megapixel Nokia N8. Didalam kategori kamera 8-megapixel pula, kualiti gambar N9 juga tidak sebagus Samsung Galaxy S2 dan iPhone 4S. Gambar yang diambil dalam keadaan terang kelihatan cantik walaupun sedikit kabur. Dalam keadaan gelap pula gambar yang diambil mempunyai masalah noise dan grain yang ketara.

Nokia Drive

Jika berbicara tentang Nokia adalah tidak lengkap jika aplikasi GPS Nokia Drive padanya tidak diulas. Aku dah menggunakan Nokia Map (nama asal Nokia Drive, turut dikenali sebagai Ovi Maps) selama 3 tahun dan sepanjang tempoh penggunaan tidak pernah sekalipun ia menghampakan aku.

Ketika menggunakan telefon ini selama 3 minggu kebetulan aku terpaksa ke Parit Buntar bagi menguruskan borang kebenaran nikah. Hendak dijadikan cerita aku terpaksa mencari rumah jurunikah bedasarkan alamat yang diberikan beliau. Apabila Google Map digunakan taman perumahan si jurunikah tak boleh dijumpai. Nasib baik ada Nokia Drive dan sepantas kilat tanpa perlu mencari secara atas talian rumah si jurunikah boleh dijumpai.

Memang tidak dapat disangkal lagi jika anda mahukan sistem GPS dengan khidmat pemandu arah suara serta peta Malaysia yang paling tepat, Nokia Drive adalah yang terbaik boleh anda gunakan. Peta seluruh Malaysia juga sudah pun dimuat masuk secara percuma anda tak perlu menggunakan pelan data langsung. Ini adalah penting sekiranya anda tidak melanggan pelan data tanpa had dari syarikat telekomunikasi Malaysia yang terkenal dengan tabiat memerah darah dari pengguna mereka.

PRO dan Kelebihan

  • MeeGo Harmattan ialah sebuah sistem operasi yang minimalis. Antaramukanya mudah digunakan tanpa masalah kelembapan yang sering dikaitkan dengan telefon pintar Nokia sebelum ini.
  • MeeGo Harmattan mempunyai sistem pengendalian pelbagai tugas (multi tasking) yang paling baik dalam mana-mana telefon pintar buat masa ini. Aplikasi yang diarahkan berfungsi di latar belakang terus berfungsi tanpa masalah tanpa perlu dibekukan seperti yang digunakan pada sistem operasi telefon pintar yang lain di pasaran.
  • Rekaan dan binaan yang cantik. Badan polikarbonat N9 tidak mudah calar dan pecah. Ianya juga sedap dipegang. Kaca lengkung pada bahagian hujung memudahkan anda melakukan aksi penggelongsoran (swipe) semasa melakukan navigasi didalam aplikasi.
  • Nokia Drive ialah aplikasi GPS terbaik yang boleh anda miliki di Malaysia. Ianya didatangkan dengan peta Malaysia yang terbina dan sudah sedia dimuat-turun. Anda tidak memerlukan pelan data untuk menggunakkan Nokia Drive dan ini menjimatkan kos penggunaan dalam jangka masa panjang

KONTRA dan Kekurangan

  • Pada harga saranan RM1700, Nokia N9 ialah sebuah peranti yang mahal dengan perkakasan generasi lama. Adalah sukar untuk mengesyorkan N9 yang mahal tetapi masih menggunakan pemproses 1 Ghz satu teras sahaja
  • Kamera 8MP pada Nokia N9 tidak sebagus Samsung Galaxy S2 yang dijual dalam lingkungan harga yang sama.
  • MeeGo Harmattan ialah sebuah sistem operasi yang telah dibunuh oleh Nokia sendiri. Jumlah aplikasi yang boleh dimuat-turun oleh anda di Nokia Store juga terlalu sedikit. Nokia N9 hanyalah untuk pencinta tegar Nokia yang tidak mementingkan penggunaan aplikasi-aplikasi popular. Aplikasi Gravity! yang cukup popular dikalangan pengguna Nokia juga masih tiada untuk versi MeeGo!
  • Tiada sokongan kad SD
  • Bateri tidak boleh diakses. Slot untuk SIM-mikro N9 juga agak sukar untuk dibuka. Paling aneh slot USB Mikro yang terhalang dengan penutup yang perlu dibuka sebelum boleh digunakan. Oleh kerana slot ini akan digunakan paling kerap untuk mengecas bateri, ada kemungkinan ianya akan patah apabila selalu digunakan. Ianya juga menyusahkan. Kenapa perlu diletakkan sistem penutup pada slot USB Mikro N9? Rekaan yang kurang mesra pengguna.

Kesimpulan

Nokia N9 ialah sebuah telefon pintar yang sepatutnya bagus tetapi menjadi sampah kerana ketiadaan sokongan dari pengeluar mahupun pembangun aplikasi. Sistem operasi MeeGo Harmattan-nya dimatikan beberapa hari selepas Nokia N9 dikeluarkan kepada umum kerana Nokia mahu menumpukan kepada sistem operasi Windows Phone 7.

Didalam pasaran telefon pintar sekarang terdapat peranti lain yang jauh lebih murah dan mampu melakukan lebih banyak perkara dari Nokia N9. Maka adalah sukar untuk mengesyorkan anda untuk membeli N9 walaupun saya seorang peminat tegar Nokia. Telefon pintar tanpa aplikasi yang menarik adalah seperti sebuah komputer tanpa program yang menarik. Yang tinggal cuma perkakasan yang tidak mampu melakukan apa-apa yang produktif.

Disamping itu ianya juga mempunyai perkakasan satu generasi kebelakang. Harga saranan RM1700 Nokia N9 oleh itu tidak memberikan nilai untuk wang yang sewajarnya

Sungguhpun begitu jika anda masih mahukan telefon pintar yang mempunyai rekaan seperti N9, tunggu sahaja Nokia Lumia 800 yang kelihatan serupa tetapi menggunakan WP7.5. Kalau tidak mahu menunggu lama beli sahaja Samsung Galaxy S2 yang kini mampu dimiliki oleh anda kerana harganya tidak banyak beza dengan N9 sekarang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd