RockMelt Beta 5 Membawakan Integrasi Sosial Terus Pada Kotak Omnibox

RockMelt Beta 5 Membawakan Integrasi Sosial Terus Pada Kotak Omnibox

Diterbitkan pada Dis 27, 2011 oleh .

Dalam dunia pelayar web yang semakin sengit persaingannya, salah satu pelayar web yang mempunyai kumpulan penggunanya tersendiri adalah RockMelt. Terkini, pelayar web yang berasaskan kod sumber Chromium ini telah pun mencapai RockMelt Beta 5, yang mana membawakan integrasi sosial yang lebih menyeluruh pada pelayar web tersebut.

Integrasi Sosial Pada Omnibox

Jikalau pada Google Chrome ataupun Firefox, anda boleh membuat carian terus pada enjin carian Google dengan menggunakan bar alamat pada pelayar web tersebut, melalui RockMelt 5 ini, ia membawakan penambahan integrasi sosial terus pada bar alamat tersebut, ataupun yang mana lebih dikenali sebagai Omnibox.

Melaluinya, para pengguna boleh membuat carian rakan-rakan mereka terus melalui bar tersebut, dan seterusnya membuat pilihan samada adakah ingin melihat profil mereka, atau sekadar menghantar mesej atau menulis pada profil mereka. Avatar pengguna tersebut juga turut diperlihatkan untuk memudahkan anda mengenal pasti seseorang.

Halaman Tab Baru

Selain daripada integrasi pada bahagian Omnibox, RockMelt Beta 5 juga turut sama membawakan halaman tab yang serba baru, membolehkan anda mengikuti kemaskini rakan-rakan anda semasa dengan mudah, selain turut memperlihatkan aplikasi web pilihan dan juga laman-laman yang anda gemar lawat.

Sama seperti pada Facebook, RockMelt Beta 5 juga membawakan Ticker mereka tersendiri pada halaman tab baru, membolehkan anda ikuti kemaskini rakan-rakan anda dengan mudah, tanpa perlu ke laman tersebut sendiri.

Lain-Lain

Beberapa perkara baru lain yang turut didatangkan adalah termasuk AppCenter baru, membolehkan anda menemui dan memasang aplikasi yang anda gemari dengan mudah. Pada masa yang sama, perkongsian teks juga adalah lebih mudah dengan fungsi “Share Text” terbina.

Muat-Turun RockMelt Beta 5

Bagi para pengguna yang berminat, anda boleh memuat-turun RockMelt Beta 5 hari ini terus daripada halaman rasmi RockMelt hari ini, manakala bagi para pengguna sedia anda, anda akan dikemaskini secara automatik dalam masa beberapa hari lagi. Namun sekiranya anda ingin dapatkannya hari ini, anda boleh ke bahagian menu, dan pada bahagian About RockMelt memilih untuk ia dikemaskini.


TIPS & ULASAN