Harvest Moon merupakan satu siri permainan yang agak popular di kalangan peminat permainan konsol atau mudah alih (handheld). Tidak seperti siri The Sims yang memfokuskan simulasi kehidupan secara menyeluruh, Harvest Moon merupakan siri simulasi kehidupan yang memfokuskan kepada kehidupan seorang petani, peladang dan penternak!
Harvest Moon: The Tale of Two Towns versi bahasa Inggeris untuk Nintendo DS mula dipasarkan pada bulan September yang lalu untuk pasaran barat. Untuk pengetahuan semua permainan ini telahpun dipasarkan seawal bulan Oktober 2010, namun hanya dalam bahasa Jepun. Versi Nintendo 3DS pula mula dipasarkan November lalu.
Corak Permainanan
Siri permainan Harvest Moon secara tradisinya memberikan peluang kepada pemain untuk mengerjakan ladang mereka dengan bercucuk tanam atau mendapatkan hasil tenusu lembu atau telur ayam. Hasil ladang pemain kemudiannya boleh dijual dan jumlah keuntungan itu boleh digunakan untuk membesarkan ladang, reban dan lain-lain lagi. Selain itu, pemain juga perlu bersosial dengan masyarakan setempat dan menyertai pertandingan dan festival yang diadakan setiap musim. Pemain juga boleh membina keluarga mereka sendiri dengan memikat hati gadis-gadis di kampung dan berkahwin dengan mereka.
Harvest Moon: The Tale of Two Towns membawa beberapa perubahan yang menarik kepada dinamik permainan ini. Di dalam versi ini, pemain diberi pilihan pada awal permainan untuk menetap di salah satu daripada dua kampung di kawasan permainan. Pemain boleh memilih untuk menetap di kampung Konohana yang memfokuskan kepada pertanian, atau pemain boleh juga menetap di kampung Bluebell yang memfokuskan kepada penternakan. Kedua-dua kampung ini mempunyai identiti mereka sendiri, samada dari segi pemakaian, festival, corak permainan dan pelbagai lagi. Ketua kampung kedua-dua kampung ini saling bermusuhan, dan terpulang kepada anda untuk menyatukan kembali kampung –kampung ini.
Ulasan Penulis
Sebagai seorang peminat siri permainan ini, penulis agak kagum dengan kepelbagaian tanaman dan ternakan yang disertakan kali ini. Antara yang ditambah ialah tanaman padi, gandum dan banyak tanaman bermusim yang lain. Pemain juga berpeluang untuk memelihara Alpaca buat pertama kalinya dalam siri Harvest Moon. Di samping itu pemain juga berpeluang memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, anjing (kini dalam saiz besar dan kecil) dan burung hantu yang boleh menolong dalam menjaga dan memelihara ladang anda.
Di samping itu, kampung Konohana yang mempunyai identiti Asia dan kampung Bluebell yang diilhamkan dari rekaan barat amat memikat hati. Kampung-kampung ini dihias bersesuaian dengan tema masing-masing, dari rekaan luaran, kepada hiasan dalaman rumah, pakaian penduduk sehinggalah kepada nama watak-watak dari kampung berkenaan. Perayaan yang diadakan juga kena dengan tema Asia vs barat dan tema tanaman vs ternakan yang digunakan.
Siri kali ini juga memperkenalkan papan permintaan (request board) buat pertama kalinya. Request board ini membolehkan pemain mendapatkan permintaan dari penduduk kampung untuk ganjaran. Permintaan ini tidak wajib untuk ditunaikan dan tidak memberi apa-apa kesan sekiranya gagal. Ianya menjadi salah satu aktiviti optional yang menyeronokkan.
Namun begitu, penulis agak tidak berpuas hati dengan beberapa perkara. Salah satunya ialah pilihan calon yang menjadi pasangan watak pemain tidak mempunyai apa-apa kelebihan kepada pemain. Katakanlah sekiranya pemain memilih untuk berkahwin dengan anak kepada peniaga benih tanaman, takkanlah si ayahnya tidak akan mengenakan diskaun kepada anak menantu? Selain itu hasil zuriat anda tidak akan membesar dan tidak akan membantu di sekeliling ladang.
Penulis juga tidak berpuas hati dengan sistem jualan yang digunakan. Setiap peniaga dalam permainan ini menjual barangan secara rawak mengikut musim. Dan setiap peniaga mempunyai dua hari cuti seminggu. Yang hairannya sekiranya hujan pada hari peniaga tidak bercuti, peniaga akan mengambil cuti tambahan sedangkan perniagaan dilakukan di dalam kedai/kediaman mereka sendiri.
Sudahlah sekiranya kedai dibuka ada kebarangkalian anda tidak dapat membeli apa yang anda mahu (kerana jualan barangan adalah rawak mengikut musim), namun sekiranya cuaca kerap hujan anda langsung tidak dapat membeli apa-apa?
Selain itu, pada permainan kali ini, calon-calon pilihan anda tidak diberikan pesaing. Salah satu daripada keistimewaan permainan Harvest Moon yang sebelum ini ialah bersaing untuk mendapatkan gadis/jejaka pilihan masing-masing. Kini cabaran itu hilang kerana pemain boleh mengambil masa mereka untuk memikat pasangan pilihan mengikut rentak masa mereka sendiri. Dan sekiranya anda telah berkahwin, calon-calon lain akan terus menjadi bujang terlajak kerana anda tiada saingan.
Namun, di sebalik kekurangan yang telah dinyatakan, permainan ini merupakan antara permainan Harvest Moon terbaik bagi penulis. Rekaan watak yang menarik, kampung dan latar belakang yang indah serta berwarna-warni serta corak permainan yang agak menarik menjadikan permainan ini salah satu yang akan sentiasa dimain oleh penulis.
Ditulis oleh Riez Forester untuk Amanz Network. Ikuti beliau di @RiezForester.