Cari @ Amanz

Sepanjang tahun 2011, pelbagai perkara manis dan pahit berlaku dalam industri IT seluruh dunia, melihat pelbagai gergasi baru lahir, selain beberapa kematian orang-orang besar dalam dunia IT, selain dunia mudah-alih da laman sosial terus kukuh dari bulan ke bulan. Melalui artikel ringkas ini, kami membawakan beberapa ringkasan rangkuman sepanjang tahun dalam dunia IT seluruh dunia sepanjang tahun 2011.

Tablet, Tablet, dan Tablet

Sepanjang tahun ini, boleh diperkatakan hampir setiap bulan terdapat tablet baru dilancarkan oleh para pembangun dan pengeluar seluruh dunia. Terdapat beberapa tablet yang meletup dipasaran, dan ada sesetengah yang gagal menarik perhatian pengguna.

Tablet daripada Apple, iaitu iPad kekal sebagai tablet paling luas digunakan, selain Samsung mengejar dibelakang dengan tawaran keluarga Galaxy Tab yang didatangkan dalam pilihan pelbagai saiz.

BlackBerry pula berusaha keras melalui BlackBerry PlayBook mereka, yang mana diperkatakan akan membawakan sokongan aplikasi Android padanya tidak lama lagi. HP pula seperti gagal, dengan mematikan projek TouchPad mereka, dan menawarkan tablet tersebut pada harga serendah $99 kepada pasaran Amerika Syarikat, selain mengeluarkan webOS dalam bentuk sumber terbuka.

TouchPad

Beberapa nama besar lain termasuk Asus dengan Transformer (bakal memperkenalkan Transformer Prime dengan cip pemprosesan empat-teras di pasaran tempatan tahun hadapan), Dell dan juga HP turut sama mencuba pasaran perniagaan melalui HP Slate menggunakan Windows 7.

Persaingan Sengit Dalam Dunia Sistem Operasi Mudah-Alih

Persaingan dalam dunia platform mudah-alih juga agak sengit sepanjang tahun, dimana Nokia memperkenalkan Symbian Anna dan juga Symbian Belle, yang mana membawakan antaramuka baru, serta beberapa fungsi baru yang lebih pantas padanya. Nokia juga turut sama menguji nasib dengan memperkenalkan peranti MeeGo pertama mereka, iaitu Nokia N9.

Apple pula terus menambah-baik platform iOS mereka, dimana telah pun memperkenalkan iOS 5 yang mana membawakan sokongan notifikasi, permesejan seumpama BlackBerry dan beberapa fungsi baru yang lain.

Android pula terus mengukuhkan kedudukan sepanjang tahun, dimana telah pun memperkenalkan Android 4.0 Ice Cream Sandwich yang diserasikan untuk tablet dan juga telefon pintar, serta membawakan antaramuka baru secara keseluruhan untuk pengguna telefon pintar, dan juga beberapa fungsi baru seperti sokongan pengecaman wajah, dan sebagainya.

Research In Motion pula telah memperkenalkan BlackBerry 7 kepada umum bersama-sama dengan beberapa peranti mereka, serta mengumumkan BlackBerry 10 yang bakal dibawa melalui peranti baru mereka pada tahun hadapan.

Microsoft teruskan menginovasi platform dengan antaramuka Metro mereka, dengan melancarkan Windows Phone 7.5 Mango yang membawakan lebih 500 perubahan dan penambahan padanya, selain turut melancarkan beberapa peranti bersama-sama pihak Nokia dibawah keluarga Nokia Lumia.

Dunia Rangkaian Sosial Berkembang Pesat

Dunia Sosial

Sepanjang tahun ini, Facebook terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai laman sosial nombor satu dunia, dimana kini perbezaan trafik antara laman sosial ini, dan juga laman nombor satu dunia, Google tidak jauh berbeza.

Facebook sendiri memperkenalkan pelbagai fungsi baru melalui laman sosial mereka sepanjang tahun ini, termasuk sokongan sembang video, sembang berkumpulan, profil Facebook Timeline, dan juga sokongan Facebook Messenger.

Mengikut rapat dibelakang Facebook adalah Twitter, dimana baru-baru ini mereka turut sama telah memperkenalkan antaramuka baru laman mereka, menjadikannya serasi pada pelbagai platform, termasuk pada aplikasi mereka, dan juga aplikasi desktop TweetDeck yang dibeli oleh mereka pada tahun ini.

Google pula sekali lagi mencuba nasib dalam arena sosial, dengan memperkenalkan Google+ kepada umum dalam bentuk beta. Walaubagaimanapun, kali ini kelihatan Google lebih serius, dimana melalui Google+ mereka membawakan pelbagai perkara baru pada dunia sosial, selain mengintegrasikan perkhidmatan mereka antara satu sama lain melalui Google Bar.

Beberapa laman sosial lain terus mengukuhkan kedudukan, dimana FourSquare menjadi laman sosial perkongsian lokasi nombor satu dunia, Friendster pula menjenamakan diri mereka semula kepada laman sosial permainan. Tagged pula terus mengukuhkan kedudukan dengan mengambil-alih Hi5 dan juga Digsby.

Pembangunan Pelayar Web Kini Lebih Pantas

Selain daripada rangkaian sosial, industri lain yang turut memperlihatkan persaingan sengit sepanjang tahun adalah industri pelayar web. Firefox dan juga Chrome membawakan pelbagai perubahan besar, selain Internet Explorer yang semakin berkurangan penggunannya dari hari ke hari.

Pelayar Web

Google Chrome, iaitu pelayar web daripada Google terus memperkukuhkan kedudukan dengan menambah pengguna baru setiap hari, dimana kini mereka menduduki tangga kedua, hanya dibelakang Internet Explorer.

Mozilla pula mengubah gaya pembangunan Firefox, dimana kini mereka mengikut pasukan pembangun Chrome, dengan menetapkan untuk memperkenalkan versi baru pelayar web setiap 6 minggu.

Microsoft terus ingin membawakan pelbagai perkara baru kepada pelayar web mereka, dimana kini Internet Explorer 10 telah pun dalam pembangunan, manakala Opera selain membangunkan pelayar web versi desktop mereka, mereka turut sama memberikan perhatian serius kepada pelayar web mudah-alih daripada mereka, iaitu Opera Mobile dan juga Opera Mini.

Internet Explorer 10

Pengambil-Alihan Dan Kerjasama

Sepanjang tahun 2011 juga kita dapat melihat beberapa syarikat perkomputeran diambil-alih oleh gergasi, selain mana beberapa syarikat turut mengumumkan kerjasama strategik bersama-sama dalam terus mengukuhkan kedudukan masing-masing.

Salah satu pengambil-alihan terbesar semestinya Skype oleh Microsoft. Microsoft telah pun membayar lebih daripada $8 billion untuk mengambil-alih syarikat panggilan suara melalui internet ini, sekaligus menambah mereka dibawah portfolio mereka.

Skype juga turut sama mengumumkan kerjasama bersama-sama dengan pihak Facebook, membolehkan perkhidmatan panggilan video disediakan pada Facebook dengan mudah, selain mana para pengguna Skype turut boleh membuat panggilan kepada rakan-rakan Facebook mereka terus melalui aplikasi Skype.

Facebook juga turut mengambil-alih beberapa syarikat IT sepanjang tahun ini, dan antaranya adalah Gowalla, yang menyediakan perkhidmatan geolokasi seumpama FourSquare. Facebook juga turut mengambil-alih Snaptu dan Beluga, serta menambah mereka dibawah portfolio mereka.

Tidak ketinggalan adalah Twitter, dimana sepanjang tahun ini, beberapa syarikat telah diambil-alih oleh mereka, termasuk BackType dan juga TweetDeck. Groupon, iaitu laman jual-beli dengan diskaun turut memperluaskan pasaran mereka dengan mengambil-alih beberapa syarikat seluruh dunia, termasuk di Malaysia melalui GroupsMore.

Intel pula memperluaskan portfolio mereka dengan mengambil-alih syarikat sekuriti terkemuka, iaitu McAfee. Google pula turut mengegarkan dunia IT seluruh dunia dengan mengambil-alih beberapa syarikat baru, selain turut sama mengambil-alih gergasi telekomunikasi, iaitu Motorola Mobility pada harga lebih $12 billion. Laman sosial MySpace pula telah diambil-alih dan kini dikendalikan dibawah pemilik baru, Specific Media.

Aplikasi Dengan Input Suara Mula Popular

Walaupun aplikasi dengan sokongan kawalan suara telah lama terdapat pada peranti mudah-alih dan lain-lain, ia mula popular pada tahun ini.

Google sendiri memperkenalkan sokongan input suara pada halaman utama mereka, membolehkan para pengguna membuat carian pada enjin mereka dengan hanya membacakannya atau menyebutnya.

Selain daripada itu, Apple pula turut memperkenalkan sokongan bantuan pintar berasaskan suara pada telefon pintar terbaru mereka, dipanggil sebagai Siri, membolehkan beberapa tugasan dilakukan dengan hanya menggunakan suara.

Beberapa aplikasi yang memperkenalkan sokongan seumpama Siri juga turut dilancarkan pada pelbagai platform, selain Vlingo terus maju setapak kehadapan, dan diambil-alih oleh Nuance baru-baru ini.

Google pula terus menambah baik sokongan input suara pada Android, dimana ia menyokong pelbagai jenis bahasa, dan juga pelbagai jenis dialek, berbeza dengan pelbagai platform lain.

Sistem Operasi Terus Berevolusi

Dunia sistem operasi juga merupakan antara perkara menarik dalam dunia teknologi sepanjang tahun ini. Bukan sahaja Microsoft memperlihatkan sistem operasi generasi baru mereka, tetapi Apple dan juga komuniti Linux turut sama berbuat demikian.

Microsoft seperti semua sedia maklum, telah lama membangunkan Windows 8, dan akhirnya mereka turut sama telah memperlihatkan, dan memperkenalkan Windows 8 Dev-Preview, membolehkan semua memuat-turun dan mencuba desktop dengan antaramuka Metro ini.

Windows 8 Dev-Preview

Apple pula telah pun memperkenalkan OS X Lion kepada para pengguna mereka, dimana diedarkan sepenuhnya secara digital, iaitu melalui Mac AppStore. Apple juga turut mengatakan yang mana OS X kini meliputi lebih daripada 5% pasaran komputer seluruh dunia.

Linux juga memperlihatkan pelbagai perubahan dan penambah-baikkan sepanjang tahun ini. Ubuntu dengan Unity mula diterima oleh para penggunannya, selain mana GNOME 3 turut membawakan pelbagai perkara baru bersama-sama dengan persekitaran desktop padanya. Fedora 16 turut sama dilancarkan. Pada masa yang sama, kernel Linux yang terkini turut mengintegrasikan sokongan Android padanya.

Panggilan Suara Dan Video Melalui Internet

Selain daripada sokongan input suara, salah satu perkara yang menjadi popular adalah fungsi panggilan suara dan video melalui internet. Antara aplikasi popular yang melakukan perkara ini adalah Skype. Seperti semua sedia maklum, Skype telah pun diambil-alih oleh Microsoft, selain mana mengumumkan kerjasama strategik bersama pihak Facebook.

Melalui kerjasama yang diumumkan, ia membolehkan teknologi Skype diintegrasikan secara terus pada laman sosial terkemuka itu, dan membolehkan penggunannya membuat panggilan video dengan mudah dan percuma.

Selain daripada itu, Google turut sama menambah baik sokongan Google Talk mereka dengan mengintegrasikan beberapa perkara baru, selain mana turut memperkenalkan sokongan sembang berkumpulan pada laman sosial mereka, dikenali sebagai Hangout.

Kematian Pelbagai Tokoh IT

Tahun ini juga memperlihatkan beberapa tokoh IT terkemuka dan perintis pelbagai teknologi meninggal dunia. Salah seorang daripada mereka adalah Steve Jobs, yang mana telah sakit untuk sekian waktu, dan akhirnya meninggal dunia selepas pengumuman iPhone 4S oleh Tim Cook.

Steve Jobs

Selain daripada itu, pada bulan Oktober yang sama, Dennis Ritchie turut sama meninggal dunia. Untuk makluman, Dennis Ritchie merupakan antara pembangun awal yang membentuk era digital, dimana telah membangunkan bahasa pengaturcaraan C, dan juga sistem operasi Unix.

John McCarthy juga meninggal dunia pada bulan yang sama, dimana beliau merupakan salah seorang pembangun disebalik teknologi perobotan (AI), dimana beliau telah membangunkan pelbagai perkara disebalik AI, dan membuat kajian berkaitan dengannya.

Sekuriti Dan Keselamatan

Dua perkara ini terus menjadi topik utama dalam dunia IT, dimana setelah tahun lepas berakhir dengan godaman disebabkan oleh WikiLeaks, pada tahun ini, beberapa perkara berkaitan dengan sekuriti dilaporkan, termasuk, yang berkait rapat dengan peranti mudah-alih.

Salah satu berita yang mengemparkan semua adalah apabila Sony digodam melalui PlayStation Network, dan jutaan akaun pemain diceroboh dan dikategorikan bahaya. Tidak ketinggalan juga berita godaman yang melibatkan dalam negara, termasuk laman Perdana Menteri kita sendiri, iaitu Najib Razak digodam.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd