Selain daripada dunia perkomputeran dan teknologi secara amnya, kami juga menyediakan laporan khas berkenaan dunia teknologi tempatan sepanjang tahun ini, sama seperti tahun-tahun lepas. Secara kasarnya, boleh diperkatakan sepanjang tahun ini, dunia IT tempatan terus berkembang dengan sihat, walaupun terdapat beberapa perkara yang tidak menyedapkan seperti godaman dan juga perbincangan mengenai akta baru.
Sekuriti, Godaman Dan Keselamatan
Sepanjang tahun ini, salah satu perkara yang hangat diperkatakan adalah berkaitan dengan sekuriti, tidak kira web, ataupun akaun sosial peribadi.
Beberapa akaun artis, selebriti dan juga akaun Facebook Pages tempatan telah digodam dan diceroboh, dipercayai mungkin menjadi mangsa pengodaman melalui WiFi ataupun phishing. Menggunakan nama pengguna dan kata laluan yang mudah juga menjadi salah satu sebab utamanya.
Selain daripada itu, salah satu perkara yang boleh diperkatakan baik adalah dimana lebih ramai mula mempelajari pelbagai ilmu berkaitan dengan sekuriti dan keselamatan. Perkara ini dapat disahkan dengan muncul beberapa kumpulan yang memfokuskan keselamatan seperti GaySec, RileksCrew dan banyak lagi.
Laman-laman terkemuka tempatan juga turut menjadi mangsa godaman, tidak terkecuali Nuffnang dan juga Advertlets. Akaun Streamyx juga turut digodam, dan dilepaskan kepada para pengguna, membolehkan ianya dimuat-turun.
Perlawanan bola antara Malaysia dan juga negara jiran turut memperlihatkan ketegangan, dimana beberapa laman tempatan digodam oleh pengodam dari negara jiran. Tidak terkecuali adalah laman web peribadi milik Najib Razak.
Laman Sosial Terus Menjadi Fokus Utama
Di Malaysia, laman sosial utama terus dipegang oleh Facebook, dimana kini mempunyai lebih daripada 12 juta pengguna berdaftar dengan mereka daripada Malaysia. Pelbagai agensi kerajaan dan juga swasta turut sama menggunakan akaun Facebook dan Twitter dalam berhubung dengan pelanggan dan rakyat.
Namun, perkara ini membawa kepada salah satu persoalan baru, apabila kontrak penjagaan laman Facebook yang bernilai ribuaan ringgit menjadi persoalan ramai.
Selain daripada itu, Friendster yang dimiliki syarikat Malaysia memperlihatkan beberapa perubahan, dengan mengubah sasaran mereka kepada golongan pecinta permainan sosial, selain turut memperkenalkan sokongan Facebook Connect.
Twitter pula terus maju dengan pelbagai topik terhangat dibincangkan melaluinya, selain Twitter memperkenalkan sokongan Bahasa Malaysia pada laman mereka. Twitter juga turut sama memperkenalkan sokongan topik terhangat kepada pengguna Malaysia. Beberapa perkhidmatan seperti Komuter dan Plus turut menggunakan platform Twitter dalam menyampaikan kemaskini semasa mereka. Google+ mula mendapat perhatian pengguna tempatan, namun masih kurang popular berbanding yang lain.
Tahun ini juga memperlihatkan beberapa laman sosial tempatan dilancarkan, termasuk 1Malaysia.com yang kini dilihat sudah berkubur. Octove dilihat aktif berbanding yang lain, dimana dilaporkan kini mempunyai lebih 70 ribu pengguna.
Dr Rozmey melalui syarikat beliau turut memperkenalkan laman sosial tersendiri, dinamakan sebagai DrBuku. Selain daripada itu, amat mendukacitakan adalah apabila laman sosial yang diberikan dana oleh kerajaan, iaitu RakanSukan tidak dipromosikan secara meluas, dan hanya mempunyai 500 pengguna berdaftar sehingga ke hari ini.
Startup Tempatan Mula Mendapat Perhatian Global
Tahun 2011 dimulakan dengan Groupon memasuki arena tempatan melalui pengambil-alihan laman milik YouthAsia, iaitu Groupsmore. Perkara ini turut membuatkan ramai pembangun startup di Malaysia bersemangat membangunkan laman-laman menarik, selain laman seumpama Groupon turut dilihat meningkat dengan mendadak.
Selain GroupsMore, MyDeal yang dibangunkan oleh syarikat tempatan turut memeterai perjanjian bersama pihak Yahoo! Malaysia, selain mana LivingSocial memasuki arena tempatan dengan mengambil alih Everyday.
Laman dibawah kategori jual-beli juga dilihat meningkat dengan drastik, dimana masing-masing membawakan fungsi istimewa tersendiri. Mudah.my masih kekal sebagai laman terkemuka di Malaysia, selain mana beberapa laman lain dengan konsep seumpamanya dilancarkan, termasuk Beli.la, Mau.my, Diskaun.my dan banyak lagi.
Pembangun aplikasi tempatan juga memperkenalkan pelbagai aplikasi menarik sepanjang tahun, dengan memperkenalkan pelbagai aplikasi menarik, selain mana aplikasi berasaskan web seperti Faces.my, Tickade dan sebagainya terus mengukuhkan kedudukan.
Beberapa aktiviti berkaitan dengan dunia startup juga diadakan, termasuk HackWeekend dan juga Silicon Valley Comes To Malaysia. Kerajaan turut menawarkan dana kepada beberapa syarikat berasaskan internet, tetapi ianya dilihat tidak digunakan dengan sebaiknya, apabila laman RakanSukan hanya sekadar mempunyai lebih kurang 500 pengguna kerana tidak dipromosikan dengan betul, dan juga AppsMalaysia seperti tidak hidup, dan hanya mengeluarkan sebuah aplikasi yang ringkas sahaja sehingga ke hari ini. Selain itu, projek MyEmail juga turut mendapat kritikan ramai pihak.
Peranti Dan Gajet
Dengan dunia pembangunan peranti yang mula diterajui oleh pengeluar daripada Asia, Malaysia turut mula menerima kesannya, dimana beberapa peranti dilancarkan di Malaysia terlebih dahulu sebelum ia dilancarkan ke pasaran global yang lain.
Antara pengeluar yang mula memberikan perhatian di Malaysia adalah termasuk Samsung, Nokia dan juga HTC. Research In Motion turut memberikan perhatian kepada Malaysia, dengan membuka kilang mereka di Pulau Pinang.
Beberapa peranti turut dilancarkan terlebih dahulu di Malaysia, termasuk Galaxy Note, peranti BlackBerry 7 dan sebagainya. Pengeluar peranti tempatan, seperti CSL turut menambah portfolio mereka dengan menawarkan beberapa peranti baru, selain syarikat telekomunikasi turut sama membawakan dan menawarkan pelbagai pakej menarik melalui peranti-peranti mudah-alih yang ditawarkan mereka.
Pada masa yang sama, salah satu universiti tempatan, iaitu USM dilaporkan sedang dalam proses pembangunan tablet Android mereka tersendiri, dan telah memperkenalkan aplikasi Android mereka untuk tujuan penganalisaan perubatan baru-baru ini.
Animasi 3D Terus Mendapat Perhatian
Salah satu industri IT yang mendapat perhatian ramai pihak adalah dunia animasi 3D. Ini mungkin lanjutan daripada kejayaan syarikat seperti Les Copaque dan lain-lain.
Les Copaque sendiri terus mengukuhkan kedudukan mereka di arena animasi dengan memperkenalkan animasi baru dinamakan sebagai Pada Zaman Dahulu. Selain daripada itu, mereka juga turut sama dalam membangunkan aplikasi iPad untuk Upin dan Ipin selain turut bakal memperkenalkan permainan video Upin dan Ipin untuk desktop.
Mengikut rapat dibelakang Les Copaque adalah Animonsta dengan siri animasi mereka BoBoiBoy yang turut memulakan tayangan pada tahun ini. Beberapa syarikat lain turut memperlihatkan video promosi untuk animasi yang bakal ditayangkan oleh mereka pada tahun hadapan.
Secara amnya, boleh dikatakan dunia animasi, kreatif dan multimedia negara akan terus maju sepanjang tahun 2012 kelak.
Telekomunikasi Dan Internet
Telekomunikasi dan internet jalur-lebar terus berkembang pesat sepanjang tahun ini. Syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom, DiGi dan lain-lain terus memperluaskan dan menawarkan talian yang lebih stabil berbanding tahun-tahun lepas, selain memperlihatkan beberapa syarikat baru memasuki arena telekomunikasi tempatan, seperti Tron dan lain-lain.
Telekom Malaysia terus mengukuhkan kedudukan mereka melalui tawaran internet berkelajuan tinggi melalui pakej UniFi. Ratusan ribu pengguna telah berdaftar, dan sehingga ke hari ini pelbagai ulasan positif diberikan oleh para pengguna.
Selain daripada itu, Telekom Malaysia turut sama menandatangani perjanjian bersama-sama beberapa syarikat lain, termasuk Maxis dan P1 dalam menawarkan internet jalur-lebar dibawah pakej syarikat masing-masing. Maxis sendiri telah memulakan perkhidmatan mereka melalui Maxis Home, dan P1 dijangka akan memulakan perkhidmatan jalur-lebar berkelajuan tinggi mereka sekitar suku tahun pertama tahun hadapan.
TIMEdotCOM, yang mana turut menawarkan perkhidmatan jalur-lebar berkelajuan tinggi terus maju setapak dengan bekerjasama bersama-sama dengan Astro, dalam menawarkan pakej dinamakan Astro Byond IPTV.
Beberapa syarikat lain turut menawarkan pelbagai tawaran menarik, termasuk UMobile yang dikatakan menawarkan kelajuan sehingga 42Mbps, manakala Vasseti Data Tech menawarkan kelajuan internet sehingga 1000Mbps.
Dunia Blog dan Media Baru
Dunia blog dan media baru terus mendapat perhatian ramai, apabila ramai mula mencari berita alternatif dan dari pandangan berbeza. Beberapa blog baru juga dimulakan dengan konsep media.
Konsep membuat duit melalui blog juga turut dilihat mencemarkan industri blog tempatan, apabila ada beberapa pembangun yang mula menyertakan iklan secara melampau pada blog mereka, selain mana turut memaksa para pengguna yang inginkan kandungan untuk Like akan halaman Facebook mereka.
Namun, secara amnya, boleh diperkatakan bilangan blog di Malaysia terus meningkat dari hari ke hari, dimana Nuffnang sahaja melaporkan mereka mempunyai lebih 300 ribu alamat blog berdaftar dibawah mereka.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri Malaysia sendiri mula aktif menyampaikan pelbagai perkara melalui blog.
Media baru, ataupun media atas-talian turut mendapat perhatian ramai, apabila beberapa media cetak sedia ada sendiri terasa tertekan dan mula memfokuskan kepada arena internet. Berita Harian, dan Harian Metro kini memperkenalkan kemaskini berita dengan lebih pantas, selain mana turut memperkenalkan beberapa aplikasi percuma untuk membolehkan pengguna mengikuti perkembangan berita melalui peranti mudah-alih mereka.
Akta Badan Perkomputeran Professional
Akhir-akhir ini, selain daripada akta SOPA yang hangat diperbincangkan di arena global memandangkan ianya melibatkan Amerika Syarikat (syarikat pendaftar .com, .net, .org beralamatkan Amerika Syarikat), di Malaysia pula, salah satu perkara yang hangat didebatkan adalah berkaitan dengan Akta Badan Perkomputeran Professional.
Ia masih lagi pada peringkat draft awal, dan baru-baru ini mereka telah mengadakan perbincangan terbuka bersama semua yang terlibat dalam industri ini. Salah satu perkara yang diutarakan adalah mengapa ianya tidak dibincanga secara terbuka sejak daripada dulu, sebelum ia didrafkan.
Namun, pihak disebaliknya mengatakan mereka akan mengambil segala input daripada mereka-mereka dalam industri ini, dan akan terus memperbaiki draft tersebut sebelum ia diperkenalkan.
webTV Dan IPTV Mula Mendapat Perhatian
Salah satu perkhidmatan yang sedia popular adalah HyppTV yang ditawarkan oleh Telekom Malaysia melalui perkhidmatan UniFi mereka. Sepanjang tahun ini, HyppTV terus berkembang dengan memperkenalkan lebih banyak saluran padanya.
Tidak ketinggalan juga adalah siaran melalui web, iaitu Tonton dan juga Maaduu. Tonton terus menambah tawaran mereka, dengan turut memperkenalkan pakej berbayar melalui perkhidmatan mereka, manakala Maaduu yang memfokuskan kepada siaran rancangan Korea terus memperluaskan perkhidmatan mereka ke negara jiran, termasuk Singapura dan juga Indonesia.
Astro juga turut menyertai arena IPTV dengan memperkenalkan perkhidmatan Astro Byond IPTV hasil bekerjasama dengan pihak TIMEdotCOM. Beberapa perkhidmatan lain turut sama diperkenalkan, termasuk AsyikTV, dan juga RTM yang menawarkan siaran langsung melalui web mereka.
Gergasi Internet Ke Malaysia
Ramai gergasi internet dan dunia teknologi mula memberikan perhatian serius kepada pasaran Malaysia. Perkara ini disahkan dengan Google sendiri mula membuka pejabat di Malaysia, selain turut menawarkan beberapa produk mereka dalam bahasa tempatan.
Selain daripada itu, salah satu perkara menarik adalah dimana Google turut sama telah memulakan rakaman Google Street View di Malaysia, memperlihatkan perkhidmatan tersebut akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada tahun hadapan. Pada masa yang sama, Google dengan hasil kerjasama pihak SKMM melancarkan perkhidmatan dinamakan Get Malaysian Business Online, membolehkan para peniaga kecilan membawa perniagaan mereka ke arena internet.
Pada masa yang sama, PayPal turut sama membuka pintu mereka di Malaysia, sekaligus memperlihatkan potensi dan angka pengguna PayPal di Malaysia yang amat ramai. Melalui suatu laporan diperkatakan pengguna PayPal Malaysia berjumlah lebih daripada 1.2 juta orang.
—-
Secara amnya, boleh diperkatakan sepanjang tahun 2011, kita dapat melihat dunia IT tempatan berkembang dengan positif, dan semestinya tahun 2012 kelak, ia akan membawakan lebih banyak perkara baru bersama-sama dengannya, dan juga tenaga baru dalam dunia ICT yang membawakan pelbagai konsep baru kelak.