Pada acara CES 2011 kelak, dijangka banyak perantian yang berupa tablet akan dilancarkan dan diperkenalkan oleh para pembangun. Mengambil-kira perkara tersebut, Opera turut sama membangunkan perisian pelayar web mereka untuk tablet, dan dijangka akan diperlihatkan pada acara yang sama.
Acara tersebut yang diadakan bermula 6 Januari ini, bakal memperlihatkan pelbagai perantian dan aplikasi baru yang bakal menjadi trend semasa pada tahun ini nanti. Opera seperti sedia maklum, merupakan antara pembangun pelayar web terkemuka, dimana baru-baru ini, Opera Software telah memperkenalkan pelayar web versi terkini mereka untuk desktop, iaitu Opera 11.
Ianya masih lagi tidak diketahui samaada ianya akan dilancarkan untuk iPad ataupun untuk Android sahaja, memandangkan dalam demo yang diperlihatkan, mereka menggunakan perantian Android, selain penghantaran aplikasi kepada Apple yang agak ketat, dan mungkin tidak dibenarkan. Selain daripada itu, RIM juga dijangka akan memperkenalkan tablet, dan tablet menggunakan Windows juga dijangka akan diperkenalkan.