Sempena dengan ulang tahun ke-empat Digital Mall di Petaling Jaya, kini mereka memperkenalkan kedai maya mereka yang tersendiri, yang mana membolehkan para penyewa di Digital Mall untuk menjual dalam talian, selain memudahkan para pengguna untuk melihat pelbagai tawaran dan membeli-belah dengan lebih mudah lagi.
Seperti sedia maklum, internet sememangnya telah mengubah cara kita berbelanja, dimana pada tahun 2008, lebih 39% pengguna Malaysia melakukan pembelian dalam talian, dan setahun selepasnya, pada 2009, transaksi rakyat Malaysia menggunakan internet mencecah angka RM25.6 juta.
Mengambil kira perkara itu, kini DigitalMall melancarkan kedai maya mereka, dimana melaluinya para penyewa premis dan kedai di DigitalMall boleh menyenaraikan produk mereka, dan seterusnya, para pengguna dari seluruh Malaysia boleh lakukan pembelian secara terus melalui laman tersebut. Anda juga kemudian boleh memilih samaada ingin produk tersebut dihantarkan kepada anda, ataupun anda ingin mengambil sendirinya di Digital Mall, Petaling Jaya.
Buat masa ini, 20 daripada 200 penyewa di DigitalMall telah pun mula menggunakan kedai maya yang disediakan, dan dijangkakan kesemua penyewa akan menggunakannya tidak lama lagi, sekaligus membolehkan ianya menjadi pusat sehenti dalam talian untuk membeli segala peralatan komputer dengan mudah.