Seperti sedia maklum, salah seorang pembangun animasi Upin dan Ipin, telah pun melangkah keluar dan menubuhkan Animonsta Studios Sdn Bhd. Menariknya, animasi pertama mereka, BoBoiBoy akan mula ditayangkan di kaca TV tempatan bermula daripada bulan Mac 2011 ini.
Berbeza dengan Upin dan Ipin yang lebih membawakan konsep semasa di Malaysia, BoBoiBoy pula membawakan jalan cerita pada masa hadapan. BoBoiBoy membawakan latar cerita, dimana salah seorang watak padanya, BoBoiBoy berusia 10 tahun berupaya menukar dirinya kepada tiga watak lain dengan kuasa yang berbeza dalam menentang keganasan makhluk asing yang datangnya ke bumi untuk mendapatkan biji koko. Tiga watak yang berbeza itu, membawakan kuasa bumi, angin dan kilat, dimana setiap satunya dipanggil dengan nama Bo, Boi, dan Boy.
Tambah menarik lagi, BoBoiBoy turut sama akan membawakan suara adik Nurfathiah Diaz yang mana sebelum ini berjaya memikat hati para penonton Upin dan Ipin.
BoBoiBoy musim pertama sepanjang lebih 26 episod dengan tempoh tayangan lebih 11 minit setiap satu akan mula ditayangkan di Malaysia, melalui saluran TV3 pada bulan Mac ini, selain turut ditayangkan pada saluran Disney dalam bahasa Inggeris.