Dengan pelepasan iOS 4.3 Beta untuk para pembangun, serba sebanyak fungsi-fungsi baru diketahui sedikit demi sedikit, selain daripada pelbagai berita daripada “sumber yang boleh dipercayai” mengenai produk-produk Apple ini. Selain daripada iPad 2 yang dijangka akan mula dijual dalam bulan April kelak, Apple juga bakal memperkenalkan iPhone 5 pada tahun ini.
Buat masa ini, info mengenai iPhone 5 masih lagi tidak berapa diketahui, namun begitu Apple dijangka akan mengekalkan kitar masa yang sama seperti sebelumnya. Melalui iPhone generasi akan datang ini, ianya diperkatakan akan direkabentuk semula dari awal, dan membawakan CPU A5 daripada Apple sendiri, dengan sokongan GSM/CDMA.
Pada masa yang sama, ianya juga diperkatakan yang mana iPhone generasi baru kelak tidak akan membawakan sebarang butang fizikal Home, sekaligus membawakan serba sebanyak perubahan pada rekabentuk telefon pintar tersebut. Mungkin juga pihak Apple telah pun mulakan ujian keatas perantian tersebut, namun ianya masih lagi kekal rahsia, sepertimana produk-produk lain Apple sebelum ini.
Apple juga dijangka bakal memperkenalkan Apple TV 3 pada tahun ini, yang mana diperkatakan akan membawakan cip pemprosesan A5 daripada Apple, dengan sokongan menonton video 1080p tanpa sebarang masalah. Apple TV 3 dijangka akan diperkenalkan pada pertengahan tahun pertama tahun ini.