Google telah pun mengumumkan pelepasan pra-lihat patform Android 3.0 Honeycomb, dan juga SDK yang dikemaskini. Menariknya, melaluinya para pengguna sudah boleh ketahui pelbagai fungsi baru yang akan dibawakan oleh Android Honeycomb, dimana setiap fungsi diterangkan oleh Google dengan terperinci.
Skrin Utama Android Honeycomb
Seperti sedia maklum, Android 3.0 kelak akan membawakan antaramuka yang serba baru, yang mana ianya telah dibangunkan dan dioptimasikan untuk perantian dengan skrin besar, terutamanya tablet. Melalui antaramuka yang baru ini, ianya lebih segar, selain turut sama membawakan pelbagai fungsi sedia ada, termasuk kebolehan untuk mengubah skrin utama dan sebagainya. Bar Sistem turut diperkenalkan, dimana para pengguna boleh mengetahui pelbagai perkara berkaitan sistem operasi mereka dengan lebih mudah, manakala melalui Bar Aplikasi, para pengguna boleh ketahui aplikasi yang sedang digunakan dan menguruskannya dengan mudah.
Papan Kekunci Honeycomb
Selepas merekabentuk semula papan kekunci pada Gingerbread, pada Honeycomb, ianya sekali lagi direkabentuk, dengan membawakan pelbagai fungsi baru, dan menambah beberapa kekunci baru, termasuk kekunci Tab. Fungsi copy-dan-paste juga ditambah-baik lagi.
Pelayar Web Pada Android
Android Honeycomb turut menambah beberapa pilihan sambungan yang baru, dimana kini para pengguna boleh sync fail-fail media tanpa perlu memasang perantian storan USB. Pengguna juga boleh menyambungkan papan kekunci fizikal padanya menggunakan USB, ataupun Bluetooth. Masa untuk mencari gelombang WiFi berdekatan juga turut ditambah baik, dan lebih pantas daripada sebelumnya.
Dan untuk para pembangun, Honeycomb membawakan UI baru untuk membangunkan aplikasi, selain turut membawakan framework baru untuk animasi, dan juga sokongan hardware-accelerated untuk grafik 2D. Selain daripada itu, Android Honeycomb turut sama akan menyokong prosessor multi-core seperti yang diperkatakan sebelum ini.
Selain daripada itu semua, Android Honeycomb turut membawakan pelbagai penambahan baik pada aplikasi pelayar web, galleri, kamera, emel dan lain-lain. Ianya dijangkakan yang mana Honeycomb akan dilepaskan tidak lama lagi, dengan tablet pertama menggunakannya, Motorola Xoom bakal dilepaskan pada awal Februari.