Selain daripada Windows 8 yang sedang dalam fasa pembangunan, Microsoft juga pada waktu yang sama sedang membangunkan generasi baru aplikasi pejabat mereka, yang mana buat masa ini dipanggil sebagai Office 15 (Microsoft Office 2010 menggunakan nama kod Office 14 sebelum ini ketika pembangunan).
Office 15 diperkatakan akan menjadi salah satu evolusi daripada Office 2010, dan membawakan pelbagai penambahan untuk meningkatkan produktiviti, selain dijangka akan membawakan integrasi kandungan kepada rangkaian sosial, serta sokongan perkomputeran awan, dan sebagainya.
Pada masa yang sama, Office 15 juga dijangka akan membawakan beberapa aplikasi tambahan, selain pelbagai komponen baru padanya. Buat masa ini, masih tidak diketahui bila manakah Office 15 akan dilancarkan, namun ura-ura mengatakan ianya mungkin dilancarkan seawal tahun 2012, ataupun mungkin juga pada tahun 2013, sama seperti Windows 8.