Dengan budaya video-blog yang makin berkembang di Malaysia, kini GengMedia mengambil kesempatan dengan memperkenalkan Vlog.my. Sama seperti konsep laman ping milik GengMedia, melalui Vlog.my, ianya membolehkan para pengguna berkongsikan video yang dibuat oleh mereka dengan mudah, selain pada masa yang sama mempromosikan blog mereka melaluinya.
Antaramuka Laman Vlog.my
Berbeza dengan YouTube, Google Video, dan 1tube.my yang menawarkan platform untuk anda muat-naik video, melalui Vlog.my, para pengguna boleh berkongsikan pelbagai video yang dirakamkan oleh mereka, dengan menghantarnya secara manual melalui laman Vlog.my. Pendaftaran untuk laman tersebut juga mudah, dimana ianya menggunakan akaun Twitter untuk pendaftaran pantas.
Dengan menghantar video ke laman Vlog.my, para pengguna akan mendapat sebuah halaman dengan URL yang amat ringkas, dimana melalui halaman tersebut, video tersebut akan diperlihatkan, bersama-sama dengan statistik kunjungan dan siapa yang menonton video tersebut. Tambahan lagi, artikel-artikel terkini daripada blog milik pengguna tersebut juga akan dipaparkan dibawah video tersebut, memberikan impak lebih tinggi kepada blog mereka.
Buat masa ini, Vlog.my masih lagi awal, dan lebih banyak fungsi mungkin akan diperkenalkan daripada semasa ke semasa.