Cari @ Amanz

Salah satu perkara menariknya mengenai komuniti Linux dan perisian sumber terbuka adalah ia membolehkan komuniti menghasilkan pelbagai aplikasi dengan kebebasan dan minat masing-masing. Dengan niat masih ramai yang gemarkan rekabentuk desktop traditional, kini pembangun disebalik Linux Mint memperkenalkan alternatif baru untuk GNOME 3.

Persekitaran desktop yang berasaskan kepada GNOME 3 ini dipanggil sebagai Cinnamon, dimana melaluinya, mereka membawakan antaramuka dan rekabentuk desktop tradisional, namun pada masa yang sama mengintegrasikan pelbagai fungsi-fungsi menarik dan fleksibel bersama-sama dengannya.

Secara ringkasnya, sekiranya para pengguna gemarkan Linux Mint, maka mereka juga akan meminati Cinnamon ini kerana membawakan fungsi dan rekabentuk lebih kurang sama. Antaranya termasuklah sokongan menu utama, seumpama mintMenu padanya.

Pada masa yang sama, ia juga menyediakan senarai tetingkap, butang khas untuk memperlihatkan butang, butang kawalan bunyi, dan pelbagai perkara lain lagi bersama-sama dengannya.

Pembangun Cinnamon juga memudahkan para pengguna Linux sedia ada untuk memasangnya pada sistem operasi masing-masing, dimana mereka menyediakan fail pemasangan untuk para pengguna Linux Mint, Ubuntu, Fedora, openSUSE, Arch Linux dan lain-lain melalui halaman muat-turun mereka. Bagi mereka yang berminat, mungkin anda boleh memasangnya hari ini, dan mengujinya sendiri.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd