Cari @ Amanz

Hari ini, Nokia Lumia 800 dan juga 710 telah dilancarkan secara rasminya di Malaysia, membolehkan para pengguna mendapatkannya dari Nokia Store seluruh negara. Di Malaysia, Nokia Lumia 800 dijual pada harga RM1650, manakala Nokia Lumia 710 pada harga RM999. Menariknya, selain daripada DiGi, Maxis dan juga Celcom turut menawarkan pakej mereka membolehkan para pengguna mendapatkannya melalui syarikat telekomunikasi pilihan mereka.

Melalui Maxis, Nokia Lumia 800 boleh didapati pada harga serendah RM799 dengan kontrak selama 24 bulan dengan komitmen bulanan sebanyak RM98 untuk penggunaan data sebanyak 6GB. Selain daripada itu, Maxis turut sama menawarkan Nokia Lumia 710 dengan pilihan pelan data 3GB (komitmen bulanan sebanyak RM68 sebulan), dengan tempoh kontrak yang sama.

Selain daripada Maxis dan DiGi, Celcom turut sama menawarkan pakej mereka dengan pilihan pelan Celcom Exec pada harga serendah RM998. Untuk pakej harga peranti terendah itu, para pengguna perlu melanggan perkhidmatan Celcom sekurang-kurangnya selama 18 bulan dengan komitmen bulanan sebanyak RM250. Namun, seperti Maxis, Celcom turut menyediakan beberapa pilihan pelan dan pakej mereka.

Bagi mereka yang tidak inginkan sebarang komitmen, anda boleh mendapatkannya terus daripada Nokia Store seluruh negara pada harga RM1650 untuk Nokia Lumia 800 dan RM999 untuk Nokia Lumia 710.

Oleh: Fairuz Bakar

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd