Cari @ Amanz

Nampaknya, mungkin tidak lama lagi, perkhidmatan mudah-alih akan lebih bergantung kepada data sahaja, manakala panggilan dan SMS seperti sudah kurang menguntungkan untuk syarikat telekomunikasi pada hari ini. Setelah Telekom Malaysia memperkenalkan Broadband Phone, dan Yes4G dengan YesLife, kini XOX pula muncul dengan perkhidmatan mereka dinamakan sebagai Voopee.

Sama seperti perkhidmatan daripada pesaing mereka, melalui Voopee ia menawarkan sebuah aplikasi ringkas, membolehkan para pengguna membuat panggilan, mahupun menghantar mesej dengan mudah terus melalui aplikasi tersebut. Ia menawarkan penghantaran dan panggilan percuma diantara pengguna Voopee, manakala caj sebanyak 22 sen seminit dikenakan untuk para pengguna yang membuat panggilan daripada Voopee ke nombor telefon di Malaysia.

Apa yang menariknya adalah, ia turut didatangkan dengan sokongan nombor telefon tersendiri, yang bermula dengan awalan 0111, serta membolehkan para pengguna membuat pilihan nombor ketika pendaftaran terus melalui aplikasi tersebut.

Untuk makluman, penggunaan aplikasi Voopee ini memerlukan akses internet pada peranti mudah-alih anda, dimana panggilan dan juga SMS dilakukan melalui internet, membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma diantara pengguna Voopee.

Buat masa ini, aplikasi Voopee hanya ditawarkan untuk para pengguna Android sahaja, dan aplikasi untuk pengguna iOS dan BlackBerry dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi. Bagi para pengguna Android, mungkin boleh memuat-turun aplikasi tersebut terus daripada Google Play Market, ataupun mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan perkhidmatan ini melalui laman rasmi mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd