Cari @ Amanz

Pada Linux, sokongan desktop maya didatangkan terbina, sekaligus memudahkan para pengguna menguruskan kerja dan pelbagai tetingkap yang dibuka dengan mudah. Para pengguna Windows, turut sama boleh mengambil peluang menggunakan fungsi ini melalui aplikasi percuma yang dinamakan Dexpot.

Dexpot membolehkan anda menambah lebih daripada 4 desktop maya pada komputer anda, disamping boleh menarik dan menambah sesuatu tetingkap daripada satu desktop ke yang lain.

Selain daripada itu, ia juga didatangkan dengan sokongan melihat semua desktop dalam bentuk skrin penuh, salah satu fungsi seumpama yang dibawakan oleh aplikasi Mission Control, tetapi lebih mudah dikendalikan pada Dexpot.

Tetingkap tetapan untuk Dexpot sendiri menawarkan pelbagai fleksibiliti, membolehkan anda menambah pelbagai perkara, termasuk kekunci pintas, dan juga menambah lebih banyak desktop maya pada komputer anda. Namun, seperti biasa, kelancarannya bergantung kepada sokongan cip pemprosesan dan memori pada komputer anda.

Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun aplikasi Dexpot secara percuma daripada halaman rasmi mereka, dan mula menggunakannya pada komputer Windows anda. Sebagai perhatian, ketika memasang aplikasi ini, ia akan menawarkan plugin tambahan untuk iTunes, yang mana mungkin anda boleh melangkauinya sekiranya tidak inginkan aplikasi tambahan dipasang pada komputer anda.

Selamat mencuba.

Terima kasih Eddy.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd