Cari @ Amanz

Lanjutan daripada sambutan hari Merdeka ke-55 semalam, beberapa media utama turut sama melaporkan yang mana sambutan tersebut telah memecahkan rekod dengan lebih 3.6 juta tweet dihantar dalam masa sejam, diantara 8.15 hingga 9.15 malam. Tetapi, adakah perkara ini benar?

Salah sebuah firma atas-talian – PoliTweet.org yang mengkaji interaksi di Twitter, mengatakan kadar tweet dengan hashtag #Merdeka55 mencapai tahap maksima pada 2052 tweet per min.

PoliTweet turut sama melaporkan yang mana mereka berjaya mengumpulkan sampel sebanyak 10,000 orang pengguna menghantar lebih 70,000 tweet kepada @NajibRazak, manakala lebih 19,000 pengguna menghantar lebih 107,000 tweet menggunakan hashtag #Merdeka55. Angka tweet yang sebenar mungkin lebih tinggi sedikit, dan kami telah pun menghubungi pihak Twitter untuk mendapatkan maklumbalas mereka.

Apa yang menariknya mengenai daripada sampel yang dikumpulkan adalah, sebanyak 38% tweet hadirnya daripada 14% pengguna, yang mana berkemungkinan adalah tweet berbentuk spam dan juga mungkin hadirnya daripada bot.

Pencarian ringkas pada Twitter sendiri memperlihatkan beberapa perkataan dan ayat diulangi oleh puluhan dan ratusan pengguna dengan menyertakan hashtag #Merdeka55.

Sebagai perbandingan ringkas, jumlah Tweet yang diterima oleh Lee Chong Wei sebelum ini hanyalah sekitar 500,000 ketika perlawanan akhir Badminton di Olimpik, mengikut angka rasmi yang dikeluarkan pihak Twitter.

Jadi, adakah benar jumlah Tweet #Merdeka55 mencapai lebih 3.6 juta Tweet?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd