Cari @ Amanz

Nokia hari ini telah pun memperkenalkan peranti terbaru mereka didalam keluarga Windows Phone, iaitu Nokia Lumia 920, membawakan beberapa sokongan menarik bersama-sama dengannya, termasuk teknologi kamera PureView padanya.

Dari segi spesifikasi, ia menyertakan cip pemprosesan 1.5GHz Snapdragon S4, skrin sebesar 4.5-inci, sokongan NFC, kebolehan pengecasan secara tanpa wayar, dan juga kamera 8-megapixel dengan sokongan PureView. Ia turut menyertakan bateri berkapasiti 2000mAh, membolehkan anda menggunakannya sepanjang hari tanpa sebarang masalah.

Selain daripada kamera, Nokia juga menekankan sokongan lokasi yang didatangkan khas untuk pengguna mereka, terutamanya Nokia Drive dan juga City Lens yang diperkenalkan baru-baru ini.

Untuk skrin pula, Nokia membawakan PureMotion HD+, menawarkan gambar paparan yang lebih baik, termasuk gambar dan video yang lebih tajam berbanding kebiasaan. Namun untuk pengecasan bateri tanpa wayar, ia tidak didatangkan bersama-sama peranti, dan para pengguna perlu mendapatkannya dalam bentuk aksesori tambahan. Apa yang menariknya, Nokia turut mengumumkan kerjasama dengan beberapa kafe, membolehkan para pengguna Lumia 920 mengecas bateri dengan mudah. Namun, kesannya kepada pengguna tempatan tidak diketahui lagi.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah peranti tersebut akan dijual di Malaysia, dan berapakah harga jualannya kelak.

Gambar : CNet.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd