Tahun 2012 – Tahun Cabaran Besar Untuk Apple?

Tahun 2012 – Tahun Cabaran Besar Untuk Apple?

Diterbitkan pada Jan 2, 2012 oleh .

Sejak kematian Steve Jobs tempoh hari, ramai yang mempersoalkan kebolehan Apple untuk terus maju tanpa beliau. Dan semestinya tahun ini, iaitu 2012 merupakan antara cabarang yang besar untuk Apple dalam membuktikan mereka akan terus maju dengan Tim Cook di barisan hadapan Apple, sekaligus terus membawakan inovasi ke dunia teknologi.

Apple juga mungkin perlu untuk terus memperkenalkan pelbagai perkara baru dalam memastikan produk mereka dapat terus dijual tanpa sebarang masalah, memandangkan setiap produk mereka mempunyai pesaing terdekat pada masa kini.

MacBook Air – Ultrabook

Sehingga pada penghujung tahun lepas, MacBook Air merupakan antara produk daripada keluarga komputer riba yang menawarkan rekabentuk nipis dan juga daya tahan bateri yang lama. Namun ianya kini mula berubah sedikit demi sedikit.

Pada penghujung tahun lepas sahaja, beberapa ultrabook baru daripada pihak pengeluar lain seperti Acer, HP, Lenovo, Toshiba dan sebagainya telah pun mula memasuki negara kita. Pada masa yang sama, pada acara tahunan CES 2012 yang bakal diadakan pada awal Januari ini, lebih 50 ultrabook diperkatakan akan diperkenalkan.

Selain daripada itu, Intel sendiri diperkatakan akan memperkenalkan teknologi Thunderbolt kepada semua pengeluar, berkemungkinan seawal bulan April 2012 kelak.

iPad – Tablet

iPad masih lagi mengekalkan takhta sebagai tablet terkemuka dunia buat masa ini, dan masih kekal popular dalam keluarganya tersendiri. Sehingga ke hari ini, jualan tablet masih dipegang oleh Apple. Walaupun perkara ini mungkin mengambil masa untuk berubah, tetapi ianya tidak mustahil untuk tidak berlaku pada tahun ini.

iPad 3 yang dijangka akan diperkenalkan pada suku tahun pertama tahun ini semestinya antara yang dinantikan ramai, dan menetapkan adakah industri tablet akan terus dipegang oleh Apple ataupun sebaliknya.

Buat masa ini, beberapa tablet dengan cip pemprosesan empat teras, malah Android 4.0 Ice Cream Sandwich amat dioptimasikan untuk tablet. Pada masa yang sama, HP juga telah mengumumkan webOS akan dijadikan sebagai sumber terbuka, sekaligus memperlihatkan berkemungkinan tablet daripada pengeluar lain yang menggunakan webOS berada di pasaran.

Microsoft sendiri sedang menyiapkan sistem operasi generasi baru mereka, yang mana dioptimasikan sepenuhnya untuk skrin sentuh, termasuk tablet. Ia masih lagi menjadi persoalan apakah strategi Microsoft kelak. Adakah Windows 8 dan juga Android dengan bantuan webOS dan BlackBerry serta platform lain bantu mengurangkan pegangan pasaran lebih 50% yang dipegang oleh Apple?

iPhone – Telefon Pintar Android

iPhone kini masih kekal sebagai telefon pintar kedua popular didunia selepas Symbian. Namun di Malaysia, takhta nombor dua dipegang oleh Android, dan berkemungkinan dengan jualan peranti Android yang semakin meningkat dari hari ke hari, serta harganya yang murah dan mampu milik, ia mungkin akan berubah pada tahun ini.

Apple seperti semua sasarkan, mungkin sedang membangunkan iPhone 5 yang diperkatakan akan membawakan rekabentuk baru dan sebagainya. Namun, pada masa yang sama, ramai pengeluar, seperti Samsung, HTC, Sony Ericsson, LG dan sebagainya membangunkan peranti mereka tersendiri, dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri yang menarik.

Bilangan aplikasi untuk Android juga kini semakin menyamai bilangan aplikasi iOS, malah beberapa pembangun kini mengutamakan Android terlebih dahulu sebelum iOS.

Jadi, Apakah 2012 Untuk Apple?

Semestinya seperti tahun-tahun lepas, tahun 2012 juga merupakan antara tahun mencabar bagi Apple. Dibawah teraju baru, Tim Cook, mungkin ianya akan memberi lebih tekanan pada mereka, selain tekanan daripada para pengguna yang inginkan produk menarik daripada mereka.

Jadi, adakah Apple akan terus maju sepanjang 2012 ataupun sebaliknya?


TIPS & ULASAN