Ingat tak lagi berkenaan dengan aplikasi VoucHEREs yang pernah kami tulis akan sebelum ini? Ianya masih lagi belum dilancarkan buat masa ini, tetapi pembangunnya baru-baru ini telah menyertai acara Make The Pitch yang diadakan oleh pihak MyEG dengan kerjasama pihak MDEC, sekaligus kini menjadi juara pertandingan tersebut, membolehkan mereka memperluaskannya melalui dana yang diberikan.
Buat masa ini, ia masih lagi belum dilancarkan secara rasminya, dan mungkin ia akan dilancarkan dalam bentuk beta tidak lama lagi. Selain daripada dalam bentuk aplikasi, VoucHEREs juga dibangunkan dengan konsep mesra peranti mudah-alih, membolehkan anda mengakses ia menggunakan sebarang peranti mudah-alih dengan keupayaan internet, dan menggunakan Facebook untuk mendaftar masuk.
Bagi yang tertanya-tanya akan kelainan yang dibawakan oleh VoucHEREs, ia menggunakan konsep geolokasi dalam memaparkan kupon-kupon dan baucer yang berhampiran dengan anda. Selain daripada itu, ia juga dijangka akan bekerjasama dengan beberapa nama besar ketika pelancarannya, menjadikannya lebih menarik berbanding beberapa aplikasi sedia ada. Salah satu jenama yang disebut-sebut adalah Bonuslink sebagai rakan mereka. Namun begitu, ia masih lagi pada peringkat awal, dan masih tiada pengesahan buat masa ini.
Mungkin kita akan dapat mendengar lebih banyak berita daripada mereka dalam masa terdekat ini. Sementara itu, mungkin anda boleh menjenguk laman VoucHEREs hari ini. Dan sebagai info tambahan, salah seorang pembangunnya merupakan pembangun asal disebalik laman Nuffnang, Advertlets dan juga Kawanster yang popular sebelum ini.
We WON!! 700k to kickstart VoucHEREs. Thanks MyEG & MDeC
— arsyan (@arsyan) January 4, 2012