Carian
Ulasan Permainan Ghost Trick : Phantom Detective
January 5, 2012 Aman

Platform Nintendo DS sekarang menjadi salah satu platform yang digemari syarikat pengeluar permainan berbentuk pengembaraan-misteri (adventure-puzzle). Ini kerana konsep ‘sentuh’ yang digunakan amat sesuai untuk dimainkan dengan jenis permainan tersebut.

Antara permainan popular menggunakan jenis ini yang dikeluarkan pada bulan Januari 2011 ialah Ghost Trick: Phantom Detective oleh syarikat Capcom. Penulis juga mendapat tahu bahawa versi untuk iPhone juga telah dikeluarkan di Jepun pada bulan lepas.

Jalan Cerita

Di dalam permainan ini, anda memulakan pengembaraan anda sebagai Sissel, yang baru sahaja mati dibunuh. Sissel kemudiannya hidup kembali sebagai satu roh yang boleh memanipulasi objek. Anda dan Sissel perlu menyiasat misteri kematian Sissel dan menyelamatkan nyawa-nyawa mangsa lain pada masa yang sama.

Corak Permainan

Permainan ini memfokuskan keupayaan Sissel sebagai roh yang boleh memanipulasi satu objek pada satu masa. Setiap objek boleh dimanipulasikan mengikut keupayaan objek tersebut demi menyelesaikan puzzle dan meneruskan jalan cerita. Contohnya sekiranya roh Sissel masuk ke dalam radio, dia boleh membunyikan radio tersebut dan memeranjatkan seorang pembunuh dan memberi peluang kepada mangsa untuk lari. Itu hanyalah salah satu contoh daripada keupayaan ajaib Sissel sebagai roh.

Roh Sissel hanya boleh mengembara dari satu objek ke satu objek yang lain dalam jarak dekat. Pada masa yang sama, sekiranya roh Sissel masuk ke dalam badan makhluk yang baru sahaja dibunuh, dia boleh memutar kembali masa ke 4 minit sebelum mangsa dibunuh untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Jalan cerita permainan ini adalah secara berterusan, namun setiap bab dimainkan dalam bentuk fasa ke fasa.

Ulasan Penulis

Penulis merasakan permainan ini merupakan permainan yang agak kreatif dan original yang pernah penulis mainkan. Jalan cerita permainan ini agak menarik, dan bagi permainan berjenis pengembaraan-misteri seperti ini, jalan cerita merupakan asas yang penting. Permainan ini juga menggunakan gaya penceritaan seperti cerita detektif klasik, di mana agak menarik perhatian penulis.

Selain itu, permainan ini mencabar kapasiti minta anda dengan puzzle-puzzle yang disertakan. Di setiap fasa anda boleh menyelesaikan satu misteri bukan dengan hanya satu cara, ianya terpulang kepada kreativiti anda memanipusai objek yang ada.

Reka grafik permainan ini yang berbentuk seperti kartun yang berwarna-warni, dengan watak-watak yang menarik hati. Anda akan merasakan seperti anda menonton kartun detektif, tapi pada masa yang sama anda mempunyai pengaruh terhadap jalan cerita.

Penulis mengesyorkan permainan yang kreatif ini kepada semua peminat permainan berjenis pengembaraan misteri!

Ditulis oleh Riez Forester untuk Amanz Network. Ikuti beliau di @RiezForester. Grafik oleh Effi.

Komen