Salah satu versi pelayar web yang masih disokong sehingga kini oleh Mozilla adalah Firefox 3.6. Namun begitu, dengan teknologi yang berkembang pesat, setiap sokongan akan mencapai tempoh matangnya, dan melalui informasi baru yang dikemaskini pada halaman sokongan Firefox, ia memperlihatkan sokongan untuk Firefox 3.6 bakal ditamatkan pada 24 April 2012 kelak, dan Firefox 10 akan didatangkan dengan sokongan masa panjang.
Seperti semua sedia maklum, Mozilla kini mengeluarkan pelayar web versi baru setiap 6 minggu, dan pada masa yang sama, kini diketahui yang mana mereka juga akan mengeluarkan versi yang disokong untuk suatu jangka masa tambahan (Extended Support Release), dan melalui mesyuarat yang dijalankan, Firefox 10 bakal kelak menjadi salah satu versi ESR untuknya.
Versi ESR ini akan disokong sehingga 8 keluaran versi Firefox. Sebagai contoh, ketika Firefox 18 dikeluarkan, Firefox 10 akan menggunakan angka versi 10.0.8, dan akan menjadi versi ESR yang terakhir. Walaubagaimanapun, ia masih pada peringkat draft buat masa ini.
Namun begitu, kami di Amanz masih lagi tidak mengetahui strategi penuh Mozilla berkaitan perkara ini, memandangkan sebelum ini mereka telah mengumum akan memperkenalkan Firefox 11 atau Firefox 12 kelak dengan sokongan kemaskini automatik, sekaligus menjadikan versi ESR ini seperti tidak lagi diperlukan.